Iklan


TIDAK WAJAR BINA JIRAT DEKAT PENEMPATAN

|

8 Mei 2009

Oleh Mustapha Ismail
bhnews@bharian.com.my

KEPENTINGAN PENDUDUK PERLU DIUTAMA SEBELUM LULUS PROJEK

BATU PAHAT: Ramai tidak mengetahui perniagaan tanah perkuburan atau jirat, mampu menjana pulangan lumayan berlipat ganda berbanding jumlah 'premium' tanah perlu dibayar kepada pihak berkuasa.

Berikutan itu, ramai pengusaha berlumba mencari lokasi sesuai dan menukar status sesuatu kawasan menjadi tanah perkuburan yang boleh mencecah hampir ratusan ribu ringgit, bagi setiap lot.

Antara lokasi sesuai dijadikan jirat komersial itu ialah kawasan dipercayai serta dikenal pasti mempunyai 'feng shui' terbaik seperti lereng bukit yang menghadap ke laut tanpa sebarang halangan.

Berikutan itu, ramai pengusaha berlumba mencari serta membangunkan tanah perkuburan elit bagi golongan berada, tanpa menghiraukan kesan negatif aktiviti mereka terhadap penduduk setempat.

Tanah pertanian dikatakan mempunyai 'feng shui' terbaik, turut tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kerakusan pengusaha jirat elit yang hanya mahu mengaut keuntungan besar.

Kawasan bukit ditarah mengikut kesesuaian 'feng suhi', bagi mewujudkan sebanyak mungkin lot perkuburan bernilai tinggi untuk dijual kepada mereka yang berminat mendapat lokasi terbaik, termasuk dari luar daerah ini.

Bagaimanapun, pembangunan tidak terkawal di sesetengah tanah perkuburan berkenaan memberi begitu banyak kesan negatif sampingan terhadap penduduk di kawasan sekitar.

Banjir lumpur, kesesakan lalu lintas serta beberapa aktiviti pencemaran adalah antara kesan tidak baik bakal dan sering dialami mereka yang tinggal berhampiran tanah perkuburan berkenaan.

Bagi kira-kira 800 penduduk di Kampung Batu 3.5 dan Batu 4.5 Jalan Minyak Beku, di sini, cadangan pembinaan tempat pembakaran mayat dan perkuburan di kampung mereka itu, bakal mengundang masalah serta meninggalkan impak sama.

Cadangan membangunkan tanah seluas lebih tiga hektar itu bukan saja akan mengganggu keselesaan penduduk, malah mampu menimbulkan pelbagai masalah seperti pencemaran air, udara dan bunyi.

Ketua Jawatankuasa Penduduk Kampung Batu 3.5, Kwan Nam Sang, berkata lokasi tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat bakal dibangunkan itu, terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk.

"Kedudukannya kira-kira 50 meter dari rumah penduduk yang sebahagian besar masih menggunakan air perigi itu, bakal meninggalkan banyak kesan negatif seperti pencemaran air.

"Pelbagai bantahan, termasuk melalui surat kepada Pejabat Menteri Besar Johor serta beberapa jabatan kerajaan yang berkaitan sudah kami kemukakan. Namun, hingga kini belum menerima sebarang jawapan.

"Malah, beberapa penduduk turut pergi ke Pejabat Tanah daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status pertukaran tanah pertanian kepada tanah perkuburan dicadang dibina itu, pada 2006 lalu.

"Bagaimanapun, kami yang ketika itu dimaklumkan bahawa permohonan berkenaan belum diluluskan, terkejut apabila ia (permohonan) sudah diluluskan tahun lalu," katanya.

Kwan berkata, persatuan yang menguruskan tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat berkenaan, juga dikesan sudah mula mengiklankan penjualan lot kubur di situ.

Beliau berkata, penduduk berpendapat kawasan berkenaan tidak sesuai dijadikan tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat, kerana kedudukannya yang terlalu hampir dengan rumah mereka.

Katanya, kewujudan tanah perkuburan di situ tidak memberi faedah kepada penduduk tempatan, kerana sebahagian besar lot kubur itu akan dijual kepada orang luar seperti Kuala Lumpur, Melaka serta warga Singapura.

"Sehubungan itu, kami berharap pihak berkuasa mengkaji semula permohonan serta kesesuaian tanah perkuburan berkenaan, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penduduk," katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi, meminta pihak bertanggungjawab menarik balik kebenaran membangunkan tanah perkuburan dan tempat pembakaran mayat di kampung terbabit.

"Selain mengusulkan bantahan penduduk pada Mesyuarat Tindakan Daerah, kita turut menghantar maklumat berkaitan projek berkenaan kepada Pejabat Tanah dan Galian kerana ia tidak sesuai dibangunkan di situ.

"Saya sudah membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan pada masa sama mendengar keluhan serta menerima pelbagai pendapat berasas penduduk mengenai projek jirat elit yang bakal dilaksana di kampung mereka itu.

"Sehubungan itu, saya berharap mereka yang terbabit menarik balik kebenaran berkenaan dengan mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan penduduk," katanya.

Katanya, kegagalan memantau kerja meratakan tanah dengan baik atau mengikut garis panduan ditetapkan, menyebabkan kawasan di sekitar tanah perkuburan berkenaan sering mengalami masalah banjir lumpur.

Malah, katanya, banjir lumpur dialami itu juga bakal menyebabkan banyak tanaman seperti dusun buah-buahan seperti durian musnah.

Sumber : Berita Harian



0 comments:

Catat Ulasan