Pondok Kempas(04/08/09) –Satu kejadian yang mengejutkan berlaku hari ini, apabila sebuah tembok besaryang tersergam indah di hadapan jalan masuk Eternal Memorial Park telah rebah menyembah bumi. Kejadian itu mungkin berpunca daripada hujan lebat yang turun selama lebih kurang 2 jam.
Subhanallah.
Manakala pada jam 2.00 petang semalam, dua kemalangan telah berlaku di hadapan memorial tersebut.
2.00 petang : Sebuah lori treler yang membawa muatan terlalu tinggi, telah menyebabkan muatan yang dibawanya tersangkut pada kabel talian telefon yang terletak di hadapan pintu masuk memorial dan mengheret kabel talian telefon tersebut sehingga mengakibatkan beberapa batang tiang telefon patah dan ada diantaranya bengkok. Kejadian itu menyebabkan tiang telefon dengan kabel yang berselirat bergelimpangan di atas jalan raya.
2.30 petang : Sejurus kemudian satu kemalangan motorsikal pula berlaku. Penunggang dan pembonceng motorsikal cedera apabila motorsikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah tembok di tepi jalan. Punca kemalangan terjadi apabila mangsa cuba mengelak tiang telefon tersebut. Kedua-dua mangsa telah dibawa oleh Encik Aladin ke klinik Selandar untuk mendapatkan rawatan.
Mungkinkah kejadian yang berlaku adalah musibah fasa pertama akibat daripada kewujudan projek pembinaan memorial itu?. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui!.
Oleh itu marilah kita bersama berdoa ke hadrat Ilahi, agar segala musibah dapat dijauhkan, dan penduduk kampung Pondok Kempas terselamat daripada segala mara bahaya dan bencana.
“Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan kembali”.
Pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina, Pondok Kempas telah mengemukakan surat kepada
Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini.
Tujuan surat berkenaan dikemukakan adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung status masjid Pondok Kempas yang bakal didirikan diatas
sebidang tanah sumbangan secara "tukar sogok"
daripada pihak pemaju jirat cina berkenaan, Menang Mulia Sdn. Berhad.Berikut adalah isi kandungan penuh surat berkenaan yang telah dikemukakan kepada Yang Berbahagia Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina ,
Bt. 19 ½ Kg. Pondok Kempas,
77500 Selandar,
Melaka .
Tarikh : 28hb Julai,2009
4hb Sya'ban, 1430H
Kepada :
Yang Berbahagia ,
Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka,
Bangunan MAIM,
Bukit Piatu,
Melaka Bandaraya Bersejarah.
Assalamu'alaikum wm.wb.
Ybhg Sahibus Samahah Datuk,
Per: MOHON PENJELASAN STATUS BAKAL MASJID PONDOK KEMPAS.
Adalah dengan hormat takzimnya saya bagi pihak JKB di atas mohon sudilah kiranya Ybhg Datuk meluangkan sedikit masa untuk meberikan ulasan dan pandangan mengenai pengujudan kariah baru dan pembinaan masjid Pondok Kempas oleh pihak Kerajaan negeri Melaka. Kami difahamkan juga bahawa usaha tersebut bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
2. Sehubungan dengan itu, kami mohon Ybhg Datuk dapat memberikan penjelasan dan pandangan berdasarkan isu-isu seperti berikut :
2.1. Isu pertama kami ialah mengenai masjid yang bakal dibina itu adalah didirikan di atas tanah seluas 4 ekar yang juga dikatakan termasuk kawasan tanah perkuburan Islam. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa tanah tersebut adalah sumbangan secara tukar sogok daripada pemaju Menang Mulia Sdn. Berhad yang kini sedang melaksanakan projek pembinaan jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat di atas tanah Lot 411 seluas 72 ekar di tengah-tengah kampung Pondok Kempas ini. Sebagaimana yang semua pihak sedia maklum bahawa pelaksanaan projek jirat dan rumah pembakaran mayat tersebut telah pun dibantah oleh penduduk kampung ini (Sila rujuk salinan memorandum kami kepada Datuk yang telah kami serahkan pada dua bulan lalu). Sesungguhnya kami amat dukacita dan berasa sangsi tentang cara tanah tapak masjid itu diperolehi . Pada hemat kami pemaju berkenaan tidak mungkin akan menyumbang secara sukarela jika pihak berkuasa tidak meluluskan permohonan pihak pemaju untuk melaksanakan projek jirat cina itu. Oleh itu, kami inginkan penjelasan Ybhg Datuk tentang apakah boleh kita menerima tanah pemberian secara sogokan tersebut untuk mendirikan masjid?. Kami juga merasakan maruah kami tercabar dan amat terhina, kerana kami tidak langsung diberi pilihan untuk menentukan bagaimana sepatutnya kami mendapatkan sebuah masjid kami sendiri. Memang kami sedar bahawa pihak pemerintah bertanggungjawab menyedikan kemudahan asas dan keperluan rakyatnya seperti pembinaan masjid ini, tetapi kami juga berhak untuk menyuarakan pandangan kami. Sebelum ini kami hanya mendengar desas-desus di warung-warung kopi , tetapi tidak pernah ada mana-mana pihak pun yang memaklumkan atau mengajak kami duduk berbincang tentang perkara ini. Walau bagaimana pun kami berharap sangat penjelasan serta pandangan daripada Ybhg Datuk sendiri mengenai isu tanah tapak masjid yang diterima secara tukar sogok ini.
2.2. Isu kedua ialah mengenai pengujudan kariah baru. Kami difahamkan bahawa pihak Majlis Agama Islam yang tentunya atas arahan atau restu Kerajaan Negeri telah meluluskan kariah baru meliputi seluruh Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Ini bermakna penduduk Islam Kesang Pajak akan terpisah daripada kariah masjid Kesang Tua, manakala penduduk Islam Pondok Kempas akan terpisah daripada kariah masjid Selandar. Namun secara rambang kami telah pun mendapat maklum balas daripada penduduk di kedua-dua kampung ini iaitu Pondok Kempas dan Kesang Pajak bahawa mereka lebih rela kekal berada di kariah masjid Selandar dan Kesang Tua. Ini disebabkan mereka berasa amat kesal dan terkilan dengan masjid tersebut dibina di atas tanah secara tukar sogok dengan jirat Cina. Kami memang berharap untuk berada dalam kariah baru dan menerima masjid baru yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi amat malang kerana kami dihadiahkan sebuah masjid seperti itu. Justeru rasanya kami lebih sedia terus kekal dalam kariah seperti sekarang ini untuk sementara waktu.
3. Oleh itu, sebagai penduduk anak jati Pondok Kempas dan Kesang Pajak kami memohon jasa baik Ybhg Datuk dan juga pihak MAIM/JAIM untuk memikirkan/mengkaji semula tentang ura-ura pengujudan kariah dan penubuhan masjid Pondok Kempas tersebut. Kami juga berharap pihak Ybhg Datuk atau MAIM/JAIM sendiri turun padang mendapatkan maklum balas sebenar daripada seluruh penduduk kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Jika boleh dicadangkan supaya JKKK Pondok Kempas, JKKK Pondok Kempas Hilir bersama-sama majoriti penduduk Islam Pondok Kempas dan Kesang Pajak di ajak berunding terlebih dahulu. Ini juga untuk mengelakkan situasi di mana masjid indah tersergam didirikan nanti tetapi tiada penduduk yang rela/bersedia untuk datang berjemaah di situ .
Sekian, terima kasih. Mohon maaf di atas keterlanjuran kata.
Saya Yang Benar,
MUHAMAD B KELING
Pengerusi,
Jawatankuasa Bertindak
Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina
Pondok Kempas(31/07/09) - Pada hari Jumaat malam Sabtu lepas, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) telah mengadakan majlis solat hajat dan jamuan makan malam.
Majlis tersebut, diadakan di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan, Naib Pengerusi JKB, dan dipimpin oleh Yang Berbahagia Ust. Badrul Amin Bahrom(bekas pensyarah UIAM).
Hadirin yang hadir pada malam itu adalah seramai 120 orang. Turut hadir adalah pemimpin utama JKB, En. Mohamad b. Keling, Pengerusi JKB.
Solat hajat tersebut adalah kali ke empat anjuran pihak JKB. Dalam keadaan yang tidak pasti, penduduk hanya mampu memanjatkan doa kepada Ilahi, kerana hanya Dialah tempat mengadu dan memohon pertolongan.
Setelah selesainya solat Maghrib, majlis dimulakan dengan tazkirah lebih kurang dalam masa 15-20 minit.
(a). Antara intipati tazkirah :
1. Mengambil iktibar dari peristiwa Isra' dan Mikraj, serta pengajaran dari perjuangan Rasulullah S.A.W.
2. Turut dibicarakan permasalahan ummah masa kini, katanya Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran amat hebat, namun isu sunni-syiah masih tidak selesai sehingga kini. Jadi siapakah umat Islam boleh harapkan, adakah OIC?.
3. Amat pentingnya gerakan masjid, untuk membina kekuatan ummah. Seperti di negeri Selangor sekarang ini, setiap kali waktu solat di masjid-masjid jemaahnya pasti ramai dan melebihi satu saff.
4. Mengenai kezaliman demi kezaliman yang berlaku masa kini, adalah akibat apabila hati seeorang manusia itu sudah bertukar menjadi haiwaniah atau syaitaniah. Namun setiap insan itu mempunyai dhamir(hati kecil), apabila melakukan dosa, rasa bersalah itu pasti ada sekali pun ia cuba menafikankannya.
Setelah tazkirah tersebut selesai, Ust. Badrul Amin mengimamkan solat 'Isyak, dan seterusnya solat hajat dimulakan.
(b). Antara hajat jemaah dan penduduk :
1. Diberikan keselamatan kepada semua ahli keluarga.
2. Pembinaan Eternal Memorial Park - Rumah Pembakaran Mayat & Jirat Cina komersial yang terletak di tengah-tengah Kg. Pondok Kempas ini, dipindahkan ke tempat yang lebih strategik dan jauh daripada kawasan kampung/berpenduduk.
3. Dihindarkan dari segala musibah,
4. Disembuhkan penyakit bagi kalangan penduduk kampung yang sakit, serta dijauhkan dari segala macam penyakit termasuklah H1N1.
Derma kilat turut dilancarkan bagi membantu meringankan beban salah seorang individu/penduduk kampung yang ditimpa musibah, kerana isteri dan anak individu terbabit mengalami masalah penyakit yang serius. Isterinya mengalami penyakit kencing manis/diabetis dan darah tinggi, manakala anaknya mengalami penyakit kegagalan buah pinggang.
Syukur ke hadrat Ilahi, kerana cuaca yang baik pada malam itu menjadikan majlis tersebut berjalan dengan sempurna.
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- WWF- Malaysia terkejut dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam bahawa Pulau Upeh, kawasan pantai penetasan utama penyu karah akan dibangunkan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata rancangan ini muncul walaupun WWF-Malaysia mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri itu mengenai pentingnya Pulau Upeh dan pantai penetasan utama penyu karah lain.
WWF-Malaysia menekankan pada pertemuan itu bahawa perlindungan undang-undang bagi semua pantai penetasan utama termasuk seluruh Pulau Upeh diperlukan, kata beliau dalam kenyataan di sini Isnin.
Ia juga menekankan bahawa hanya kesan rendah penyu berasaskan ekopelancongan yang jelas di pulau itu sementara negeri ini memperoleh pendapatan daripada pelancongan serta bagi memastikan survival penyu karah.
Beliau berkata meneruskan pembangunan tanpa mengambilkira keuntungan dan kesan pembangunan terhadap populasi penyu, akan memberi kesan yang tidak baik terhadap habitat penetasan.
"Bagi memberi ruang pada pembangunan yang terancang, kerajaan negeri janganlah melaksanakan penambakan tanah di atas atau berhampiran dengan pulau. Sebarang penambakan seperti itu akan memberikan kesan yang tidak baik kepada penyu," tambah beliau.
Beliau berkata kini pantai penetasan di Melaka termasuk Pulau Upeh tidak dilindungi secara sah. Pemuliharaan penyu karah di Pulau Upeh bergantung pada perlindungan undang-undang di seluruh pulau tersebut.
"Kehidupan penyu berasaskan ekopelancongan bergantung pada penyu kembali ke Pulau Upeh untuk menetas setiap tahun. Rantau Abang adalah satu contoh di mana penyu berasaskan pelancongan didapati salah," kata Dr Dionysius.
Merujuk pada kenyataan akhbar Sinar Harian pada hari Selasa 19 Mei 2009, oleh ADUN kawasan Bemban, YB Chua Kheng Hwa, beliau berkata telah dimaklumkan bahawa banyak kali perbincangan telah dilakukan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK), Kg. Pondok Kempas beberapa tahun sebelum ini dan pihak JKKK juga telah dimaklumkan dan bersetuju dengan Memorial itu.
1.Tetapi kami penduduk kampung keliru dengan kenyataan YB itu, siapakah yang memaklumkan kepada YB Chua tentang perbincangan tersebut dengan pihak JKKK?. Dan pihak manakah yang berbincang dengan JKKK, sehingga membuatkan JKKK setuju?. Tetapi yang jelasnya perbincangan tersebut bukan dengan penduduk kampung Pondok Kempas.
2.Sejak dari awal lagi penduduk kampung membantah dan tidak bersetuju dengan projek pembinaan Memorial tersebut, yang jelas tidak masuk akal. Semua alasan munasabah telah kami nyatakan dalam memorandum yang kami serahkan kepada Ketua Meteri Melaka, TYT dan Tuan Mufti Melaka. Adakah memorandum kami dibaca dan dikaji seperti yang dijanjikan?. Setiap kali kami nyatakan bantahan kami ini, jawapan yang kami dapat dari pihak yang bewajib, bahawa pembinaan Memorial tersebut adalah di atas tanah hak milik persendirian pihak Pemaju, juga adalah untuk keperluan kaum Cina!. Kami tidak nafikan kaum cina memerlukan sebuah Memorial. Seperti yang sudah kami nyatakan di dalam memorandum. Tapi apakah kewajarannya dibina di kampung kami?.
3.Dalam jangka masa panjang, pencemaran pasti berlaku , seperti yang terjadi di Petaling Jaya. Penduduk setempat mengeluh dengan wujudnya rumah pembakaran mayat yang benar-benar berhampiran dengan kawasan kediaman mereka, mereka berkata bahawa bau sampah lebih sedap dari bau asap pembakaran mayat.
4.Sebagai masyarakat kampung tradisi, kami penduduk kampung tidak perlu dihasut oleh parti pembangkang untuk membantah pembinaan Memorial tersebut. Kami tidak nafikan bahawa dikalangan penduduk kampung ini ada diantaranya yang terdiri daripada ahli parti pembangkang.Tetapi walau pun kami berlainanan ideologi, kami bersatu untuk membantah pembinaan tersebut, kerana kami mahu mengekalkan keharmonian kampung kami sebagai kampung tradisi Melayu yang diwarisi oleh nenek moyang kami.
5.Ini bukan isu perkauman, tetapi ini adalah isu sejagat. Contohnya seperti di Batu Pahat dan di Taman Saujana Puchong, penduduk yang membantah majoritinya adalah kaum Cina.
6.Seperti bekas Ketua Wanita Umno Caw. Pondok Kempas, Puan Kalsom Rejab ada menyatakan dalam sidang media pada 5 Julai ‘09, “kami adalah pengundi setia BN pada setiap Pilihanraya. Ini terbukti apabila peti undi Pondok Kempas tidak pernah kalah dan menang bergaya pada setiap kali pilihanraya”. Adakah ini balasan yang kami dapat?. Projek keperluan yang telah di berikan kepada kami sebelum ini dan yang telah lepas, kami tak nafikan. Tetapi Itu memang adalah tanggung jawab pihak pemerintah. Tak kiralah sama ada kerajaan BN atau kerajaan pembangkang. Projek yang baik tak pernah kami bantah.
Pondok Kempas(18/07/09)- Pada hari Sabtu lepas, UMNO cawangan Jasin mengadakan kenduri, marhaban, berzanji di rumah Pengerusi JKKK, Borhan Hassan. Ia berkemungkinan adalah untuk mengambil hati penduduk Kg. Pondok Kempas, tetapi bukan untuk membantu menghentikan pembinaan memorial perkuburan di Kg. Pondok Kempas. Turut hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Md. Yunos Husin, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa.
Persoalannya, benarkah pembinaan memorial tersebut mengikut keperluan?. Tetapi keperluan untuk siapa?.
Serah Memorandum Kepada Ketua Pembangkang Malaysia :
Pondok Kempas(19/07/09)- Pada Ahad lepas, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) Membantah Pembinaan Rumah Mayat & Jirat Cina telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memorandum tersebut diserahkan secara terus oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Abdullah b. Hassan. Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Encik Mohamad b. Keling, AJK Jawatankuasa Bertindak. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan Malaysia, sdr. Shamsul Iskandar Md. Akin. Anwar Ibrahim berkata, saya akan membantu menyelesaikan isu kubur Cina terbabit. Kami mendesak supaya kerajaan negeri Melaka mengkaji semula pembinaan memorial tersebut seperti yang termaktub dalam memorandum bantahan yang telah kami serahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Kami penduduk Kg. Pondok Kempas amat berharap isu ini akan dibawa ke Parlimen oleh Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya ia akan menjadi isu nasional.
Kesimpulannya : Jika melakukan kejahatan sudah tentu mendapat tohmahan dan cacian, manakala berbuat kebaikan juga adakalanya mendapat tohmahan dan cacian, tetapi yang membezakan antara dua perbuatan tersebut adalah siapakah yang dipandang mulia di sisi Allah S.W.T. Wallahu'alam.
Melalui Laman Web atau Blog PEMBELA PONDOK KEMPAS saya terbaca beberapa kecaman liar dan serangan peribadi dalam chat box pelawat Blog tersebut yang menamakan diri mereka sebagai Akulah Barua, Hantu Kubur, Mr. Sarif Dol, Gemini, Penyengat Hitam , Pocong, Kambing Yang Berfikir, Tanpa Nama dll. Walaupun pada mulanya sayafikirtidak perlu dijawab, tetapi demi maruah saya dan keluarga , semua tuduhan atau fitnah yang tidak berasas itu perlu diberikan penjelasan. Saya harap semua pelawatblog tersebut yang mencecah angka seramai 400 lebih itu akan memahami situasi atau fakta sebenarnya, insyaAllah. Di bawah ini saya susun satu kronologi peristiwa bantahan terhadap Jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat tersebut. Diharapkan kronologi ini dapat membantu menangkis semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya serta salah faham yang mungkin timbul terutama di peringkat anak- cucu kemudian hari..
1.Akhir Tahun 2007 – Bila mendengar berita tentang ura-ura hendak membina projek kubur Cina secara komersial di atas Lot 411 seluas 72 ekar itu, saya telah mencadangkan supaya JKKK Pondok Kempas Hilir membuat surat bantahan lebih awal. Atas cadangan saya itu serta desakan beberapa orang penduduk, Setiausaha JKKKberkenaan telah pun menghantar surat bersama kira-kira 70 tandatangan penduduk kampung ini yang membantah projek itu. Alhamdulillah, bantahan itu menunjukkan respon yang baik daripada pihak atasan pada awalnya.
2.April 2008 – Saya susul satu lagi surat bantahan saya secara peribadi ke Pejabat Daerah Jasin kerana ada desas-desus mengatakan projek itu akan diteruskan. Saya juga telah menemuiPengerusi dan S/U JKKK memaklumkan berita tersebut serta bantahan yang akan saya buat.
3.Pertengahan 2008 – Pengerusi dan S/U JKKKmemaklumkan secara lisan kepada saya bahawa pihak kerajaan Negeri telah pun meluluskan projek tersebut dengan janji/ tawaran/sogokan pihak pemaju projekakan memberikan 4 ekar tanah bagi tapak masjid dan tanah perkuburan Islam di kampung ini. Saya terkejut dan berasa amat kesal bila menerima berita ini.
4.Seterusnya, saya sering menyatakan kepada JKKK terutamanya pihak S/U agar meneruskan bantahan , tetapi saya telah dipujuk oleh Pengerusisupaya tidak meneruskan hasrat itu dengan alasan kita mentimun nak lawan durian, kita tidak akan menang.
5.Akhir2008 - Bila projek ini mula dilaksanakan, berkali-kali saya menyatakan kepada beberapa pihak untuk teruskan bantahan. Sebaliknya saya pernah dipujuk supayatidak meneruskan niat bantahan itu bahkan saya dijanjikan bahawa di sebelah kawasan rumah saya akan dibina sebuah taman memorial tersebut dan janji saya akan dilantik sebagai “orang penting” dalamjawatankuasa masjid itu nanti.
6.Seterusnya dalam situasi yang tertekan demikian, terutama bila melihat penduduk kampung ini tidak menunjukkan sebarang reaksi positif untuk turut membantah, saya dan isteri terpaksa mendiamkan diri dan seolah-olah berserah kepada takdir. Ketika inilah kontraktor kerja tanah projek kubur cina itu (bukan pemaju) meminta untuk dapat bekalan air dan letrik untuk keperluan para pekerjanya dengan janjinya sendiri untuk membayarkan bil-bil tersebut, Atas rasa perikemanusiaan terhadap pekerjanya itu saya memberi keizinan. Mereka mendapatkan bekalan air dan letrik tersebut kira-kira3 bulan. Hanya satu bulan bil letrik dan 2 bulan bil air mereka bayar, manakala bulan-bulan berikut termasuk yang mereka telah gunakan kemudahan air/letrik saya sendiri yang bayarkan. Walau bagaimanapun bila Jawatankuasa Bertindak (JKB) ditubuhkan, saya dinasihatkan supaya memberhentikan bekalan air/letrik tersebut. Saya sedar kesilapan saya itu dan mengikut nasihat mereka. Saya bertindakmenghentikan serta mertasetelah saya memaklum dan mohon maaf kepada para pekerja tersebut. Saya mohon ampun dan bertaubat jika telah termakan wang haram itu.
7.Dalam situasi tertekan itu juga saya dan isteritelah menyatakan hasrat untuk berpindah. Hasratuntuk berpindah ini saya maklumkan dalam satu majlis makan tengahari/kenduri kecil di rumah adik saya, Zakaria. Pada waktu itu juga, ada 2 orangtampil menyatakan bahawa pihak pemaju jirat tersebut memang berminat untuk membeli tanah (seluas 2 ekar) dan rumah saya. Lalu saya menyatakan kesediaan untuk menjualnya dengan syarat gantikan saya 2 ekar tanah yang jauh daripada jirat tersebut dan bayar harga rumah saya serta gantirugi sewajarnya. Dua orang Hamba Allah berkenaan telah bersetujumenjadi orang tengah untuk berunding dengan pihak pemaju,dan salah seorang daripada mereka meminta diberikan 2 peratus daripada harga jualan nanti.
8.Mac 2009 – Kedua-dua orang tengahtersebut memberitahu saya bahawa pihak pemaju tersebut tidak sanggup memenuhi syaratmenggantikan dua ekar tanah lain seperti yang saya minta sebaliknya hanya mahu membeli tanah dan rumah saya dengan harga RM 350,000 sahaja. Pada waktu itu saya telah memberitahu orang tengah tersebut, jika pihak pemaju tidak mahu memberi 2 ekar tanah gantian tersebut, saya meletakkan harga tanah dan rumah saya ini termasuk nilai sentimental atau gantirugi lain dengan harga RM 1 juta(tawar-menawar masih terbuka). Saya kira ini wajar kerana saya memiliki tanah dan rumah ini dengan harga titik peluh saya dan isteri saya sendiri bukan pusaka atau percuma. Bahkan tanah dan rumah ini merupakan hasil impian kami selama ini yang tidak ternilai harganya dan diharap dapat kekal menjadi aset kami hingga akhir hayat. Adakah tawaran ini menggambarkan sifat tamak saya sehingga menyamakan saya seperti binatang yang bertopengkan manusia? Atau memang hak saya untuk menentukan nilai aset saya sendiri?
9.Awal Mei 2009 – Dalam satu majlis kenduri arwah beberapa orang penduduk kampung ini telah mencadangkan supaya bantahan diteruskan. Sayasedikit terkejut dengan cadangan tersebut kerana baru saya sedar masih ada penduduk kampung ini yang sensitif dan prihatin. Dan lebih menggembirakan saya bilamana pungutan tandatangan penduduk yang membantah mencecah 300 orang!. Ini bermakna lebih 90 peratus yang membantah, termasuk 9 – 10 orang penduduk India dari Kesang Pajak.
10.Pertengahan Mei 2009 - Lanjutan daripada perbualandi majlis kenduri arwah tersebut, satu perjumpaan ramai telah diadakan di Kedai Encik Kamal dan seterusnya satu Jawatankuasa Bertindak (JKB) Membantah Rumah Mayat dan Jirat Cina ditubuhkan. Saya amat bersyukur kerana penduduk Kampung telah bangkit membantah sebagaimana yang saya harapkan.
11.JKB merancang untuk menjadikan isu ini bukan sahaja isu negeri Melaka tetapi juga sebagai isu nasional jika pihak berkuasa kerajaan Negeri tidak memberikan sebarang tindak balas. Pada peringkat awal kami memang merancang untuk tidak melibatkan mana-mana parti pembangkang, walaupun beberapa ahliJKB dan segelintir penyokong adalah ahli parti pembangkang. Namun bila kerajaan negeri tidak memberikan respon yang kami harapkan, barulah kami berusaha melibatkan pembangkang pula supaya isu ini menjadi perhatian semua pihak, termasuk di peringkat nasional.Tindakan ini merupakan langkah kami yang berasaskan strategi yang diatur dari awal lagi. Adakah ini bermakna kami munafik? Adakahorang yang menuduh saya ini memang benar-benar bijaksana (atau bijaksini) dalam politik dan pakar strategik?Jika anda lihat politikawan di peringkat atas walaupun mereka berlainan parti/ideologi, tetapi masih boleh duduk semeja minum kopi. Tetapi kita ini cuma berbeza pandangan tentang kubur cina dah terukbagai nak berperang. Dah berkerat rotan berpatah arang ! MasyaAllah!
12.Akhir Mei 2009 – Pada sebelah pagi sebelum Demonstrasi Aman Pertama bagi Membantah Jirat dan Rumah Pembakaran Mayatdiadakan2 orang kuat JKKK datang menemui saya dan memujuk supaya membatalkan hasrat untuk mengadakan demonstrasiitu. Paling anihnya, waktu ini juga kedua-dua orang kuat tersebut menyatakan bahawa pihak pemaju setuju untuk membeli tanah dan rumah saya pada harga RM 500,000. Pada mulanya saya hampir memutuskan untuk membatalkan demo tersebut bila kedua-duanya cuba sedaya upaya meyakinkan saya bahawa kerja ini sia-sia dan tidak akan berjaya, bahkan akan memecah-belahkan perpaduan keluarga dan orang kampung. Tetapialhamdulillah akhirnya saya kuatkan semangat dan tetap bersama jawatankuasa bertindak dan orang kampung meneruskan demo bantahan tersebut pada sebelah petangnya.
Setakat ini sahaja kronologi yang dapat saya bentangkan ,manakala yang lainnya sudah sedia ada dalam blog PEMBELA PONDOK KEMPAS tersebut. Saya juga berharap kronologi ini dapat menjawab semua tuduhan dan fitnah liar yang dilemparkan melalui chatt box tersebut. Mengenai Tabung Al-Hassan yang ditohmahkan pada saya oleh Mr. Sarip Dol, saya tidak mahu memberikan apa-apa penjelasan pun di sini, yang boleh mengaibkan mana-mana pihak, kerana ini adalah hal peribadi keluarga arwah ayahanda Sidang Hassan. Jika Mr. Sarip Dol inginkan penjelasan lanjut, sila datang jumpa saya. Mengenailain-lain tuduhan liar yang berkaitan dengan soal peribadi saya dan keluarga, saya serahkan kepada Allah. Yang baik datangnya dari Allah, yang tidak baik itu dari diri saya sendiri sebagai manusia yang memang tidak sempurna. Para blogger dan pengunjungblog bolehlah buat penilaian sendiri, insyaAllah.
Saya mohon jasa baik anda semua agar memberikan pandangan, saranan atau kritikan yang konstruktif. Semua pandangan atau kritikan yang emosional, menyentuh soal peribadi dan sensitiviti perkauman, keagamaan dan sebagainya perlulah dielakkan. Semua tulisan yang berasaskan fakta yang jelas dan benar serta professional amat dialu-alukan.
Sekian, terima kasih.
Abdullah b. Hassan - Penasihat I PEMBELA.
Ulasan Pengunjung
Info PEMBELA
PEMBELA PONDOK KEMPAS
Ibu Pejabat: Kg. Pondok Kempas,
77500, Selandar,
Melaka.
Pengasas PEMBELA : Ibnu Abdullah.
Objektif : Demi mencapai matlamat Jawatankuasa Bertindak(JKB) Membantah Rumah Pembakaran
Mayat & Jirat Cina, untuk menghentikan serta merta pembinaan sebuah Memorial Perkuburan di tengah-tengah Kg. Pondok Kempas.
Penindasan Yang Berlaku : Penduduk kampung ini telah dinafikan hak mereka untuk menolak sama sekali projek Memorial Perkuburan terbabit.
Staff:
1. Penasihat I/Pengarang : Abdullah Hassan.
2. Penasihat II/Pengarang : Siti Ramuna Mat Isa.
3. Ketua Admin/Ketua Pengarang: Asrul Azam Abdullah.
4. Naib Ketua Admin I/Pengarang : Syamsul Amri Abdullah.
5. Naib Ketua Admin II/Editor/Pengarang : Khairul Adli Abdullah.