Iklan


Memaparkan catatan dengan label Tindakan JKB. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tindakan JKB. Papar semua catatan

Surat JKB Kepada Sahibus Samahah Y. Bhg Mufti Negeri Melaka

|

Assalamu'alaikum,

Pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina, Pondok Kempas telah mengemukakan surat kepada

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini.

Tujuan surat berkenaan dikemukakan adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung status masjid Pondok Kempas yang bakal didirikan diatas

sebidang tanah sumbangan secara "tukar sogok"

daripada pihak pemaju jirat cina berkenaan, Menang Mulia Sdn. Berhad.Berikut adalah isi kandungan penuh surat berkenaan yang telah dikemukakan kepada Yang Berbahagia Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jawatankuasa Bertindak (JKB),

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina ,

Bt. 19 ½ Kg. Pondok Kempas,

77500 Selandar,

Melaka .

Tarikh : 28hb Julai,2009

4hb Sya'ban, 1430H


Kepada :

Yang Berbahagia ,

Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka,

Bangunan MAIM,

Bukit Piatu,

Melaka Bandaraya Bersejarah.


Assalamu'alaikum wm.wb.

Ybhg Sahibus Samahah Datuk,


Per: MOHON PENJELASAN STATUS BAKAL MASJID PONDOK KEMPAS.


Adalah dengan hormat takzimnya saya bagi pihak JKB di atas mohon sudilah kiranya Ybhg Datuk meluangkan sedikit masa untuk meberikan ulasan dan pandangan mengenai pengujudan kariah baru dan pembinaan masjid Pondok Kempas oleh pihak Kerajaan negeri Melaka. Kami difahamkan juga bahawa usaha tersebut bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.


2. Sehubungan dengan itu, kami mohon Ybhg Datuk dapat memberikan penjelasan dan pandangan berdasarkan isu-isu seperti berikut :


2.1. Isu pertama kami ialah mengenai masjid yang bakal dibina itu adalah didirikan di atas tanah seluas 4 ekar yang juga dikatakan termasuk kawasan tanah perkuburan Islam. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa tanah tersebut adalah sumbangan secara tukar sogok daripada pemaju Menang Mulia Sdn. Berhad yang kini sedang melaksanakan projek pembinaan jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat di atas tanah Lot 411 seluas 72 ekar di tengah-tengah kampung Pondok Kempas ini. Sebagaimana yang semua pihak sedia maklum bahawa pelaksanaan projek jirat dan rumah pembakaran mayat tersebut telah pun dibantah oleh penduduk kampung ini (Sila rujuk salinan memorandum kami kepada Datuk yang telah kami serahkan pada dua bulan lalu). Sesungguhnya kami amat dukacita dan berasa sangsi tentang cara tanah tapak masjid itu diperolehi . Pada hemat kami pemaju berkenaan tidak mungkin akan menyumbang secara sukarela jika pihak berkuasa tidak meluluskan permohonan pihak pemaju untuk melaksanakan projek jirat cina itu. Oleh itu, kami inginkan penjelasan Ybhg Datuk tentang apakah boleh kita menerima tanah pemberian secara sogokan tersebut untuk mendirikan masjid?. Kami juga merasakan maruah kami tercabar dan amat terhina, kerana kami tidak langsung diberi pilihan untuk menentukan bagaimana sepatutnya kami mendapatkan sebuah masjid kami sendiri. Memang kami sedar bahawa pihak pemerintah bertanggungjawab menyedikan kemudahan asas dan keperluan rakyatnya seperti pembinaan masjid ini, tetapi kami juga berhak untuk menyuarakan pandangan kami. Sebelum ini kami hanya mendengar desas-desus di warung-warung kopi , tetapi tidak pernah ada mana-mana pihak pun yang memaklumkan atau mengajak kami duduk berbincang tentang perkara ini. Walau bagaimana pun kami berharap sangat penjelasan serta pandangan daripada Ybhg Datuk sendiri mengenai isu tanah tapak masjid yang diterima secara tukar sogok ini.


2.2. Isu kedua ialah mengenai pengujudan kariah baru. Kami difahamkan bahawa pihak Majlis Agama Islam yang tentunya atas arahan atau restu Kerajaan Negeri telah meluluskan kariah baru meliputi seluruh Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Ini bermakna penduduk Islam Kesang Pajak akan terpisah daripada kariah masjid Kesang Tua, manakala penduduk Islam Pondok Kempas akan terpisah daripada kariah masjid Selandar. Namun secara rambang kami telah pun mendapat maklum balas daripada penduduk di kedua-dua kampung ini iaitu Pondok Kempas dan Kesang Pajak bahawa mereka lebih rela kekal berada di kariah masjid Selandar dan Kesang Tua. Ini disebabkan mereka berasa amat kesal dan terkilan dengan masjid tersebut dibina di atas tanah secara tukar sogok dengan jirat Cina. Kami memang berharap untuk berada dalam kariah baru dan menerima masjid baru yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi amat malang kerana kami dihadiahkan sebuah masjid seperti itu. Justeru rasanya kami lebih sedia terus kekal dalam kariah seperti sekarang ini untuk sementara waktu.


3. Oleh itu, sebagai penduduk anak jati Pondok Kempas dan Kesang Pajak kami memohon jasa baik Ybhg Datuk dan juga pihak MAIM/JAIM untuk memikirkan/mengkaji semula tentang ura-ura pengujudan kariah dan penubuhan masjid Pondok Kempas tersebut. Kami juga berharap pihak Ybhg Datuk atau MAIM/JAIM sendiri turun padang mendapatkan maklum balas sebenar daripada seluruh penduduk kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Jika boleh dicadangkan supaya JKKK Pondok Kempas, JKKK Pondok Kempas Hilir bersama-sama majoriti penduduk Islam Pondok Kempas dan Kesang Pajak di ajak berunding terlebih dahulu. Ini juga untuk mengelakkan situasi di mana masjid indah tersergam didirikan nanti tetapi tiada penduduk yang rela/bersedia untuk datang berjemaah di situ .


Sekian, terima kasih. Mohon maaf di atas keterlanjuran kata.


Saya Yang Benar,



MUHAMAD B KELING

Pengerusi,

Jawatankuasa Bertindak

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina

Pondok Kempas/Kesang Pajak.




s.k.

  1. YAB Ketua Menteri Melaka,
  2. Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
  3. Yang Dipertua MAIM
  4. Pengerusi JKKK Pondok Kempas
  5. Pengerusi JKKK Pondok Kempas Hilir
  6. Tuan Imam Masjid Selandar dan Kesang Tua
  7. Datuk Sidang Pondok Kempas
  8. Pihak Media

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Solat Hajat Kali Ke 4

|


Majlis Solat Hajat & Tazkirah Maghrib

Tarikh :
31 Julai 2009(Jumaat)

Masa :
7.00 malam

Tempat :
Di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan,
Bt. 19 1/2, Kg. Pondok Kempas,
Selandar, 77500,
Melaka

Untuk keterangan lanjut sila hubungi :
S/U Jawatankuasa Bertindak,
Sdr. Zamzizul Nordin,
Tel - 019-6552646

Semua dijemput hadir

Pro & Kontra - Penyokong Dan Pembantah

|

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Bismillah,
Allahumma solli'ala Muhammad.

Pembinaan Memorial Ikut Keperluan?:

Pondok Kempas(18/07/09)- Pada hari Sabtu lepas, UMNO cawangan Jasin mengadakan kenduri, marhaban, berzanji di rumah Pengerusi JKKK, Borhan Hassan. Ia berkemungkinan adalah untuk mengambil hati penduduk Kg. Pondok Kempas, tetapi bukan untuk membantu menghentikan pembinaan memorial perkuburan di Kg. Pondok Kempas. Turut hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Md. Yunos Husin, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa.

Persoalannya, benarkah pembinaan memorial tersebut mengikut keperluan?. Tetapi keperluan untuk siapa?.



Serah Memorandum Kepada Ketua Pembangkang Malaysia :

Pondok Kempas(19/07/09)- Pada Ahad lepas, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) Membantah Pembinaan Rumah Mayat & Jirat Cina telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memorandum tersebut diserahkan secara terus oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Abdullah b. Hassan. Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Encik Mohamad b. Keling, AJK Jawatankuasa Bertindak. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan Malaysia, sdr. Shamsul Iskandar Md. Akin. Anwar Ibrahim berkata, saya akan membantu menyelesaikan isu kubur Cina terbabit. Kami mendesak supaya kerajaan negeri Melaka mengkaji semula pembinaan memorial tersebut seperti yang termaktub dalam memorandum bantahan yang telah kami serahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Kami penduduk Kg. Pondok Kempas amat berharap isu ini akan dibawa ke Parlimen oleh Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya ia akan menjadi isu nasional.



Kesimpulannya : Jika melakukan kejahatan sudah tentu mendapat tohmahan dan cacian, manakala berbuat kebaikan juga adakalanya mendapat tohmahan dan cacian, tetapi yang membezakan antara dua perbuatan tersebut adalah siapakah yang dipandang mulia di sisi Allah S.W.T. Wallahu'alam.

Sidang Media - Bekas Ketua Wanita UMNO Keluar Parti!

|

Nota: Mohon maaf kualiti video kurang memuaskan.


KENYATAAN MEDIA

Assalamualaikum w.b. t.

Saya Kalsom Binti Rejab dengan rasa rela hati dan istiqamah mengisytiharkan diri saya dan 80 pengikut saya keluar dari parti UMNO. Yang telah kami sertai selama puluhan tahun. Untuk pengetahuan, saya merupakan bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Pondok Kempas / Kesang Pajak selama 2 penggal dari tahun 2002. Kami mengambil keputusan ini kerana merasa amat kecewa dengan UMNO cawangan, Bahagian mahupun negeri kerana tidak mengambil peduli akan bantahan pembinaan jirat cina yang telah kami buat. Tiada seorang pun YB Parlimen, YB Adun, Pegawai Daerah, YDP Jasin dan semua Agensi Kerajaan yang datang menemui kami untuk menjelaskan perkara sebenar. Sedangkan kami adalah pengundi setia BN pada setiap Pilihanraya. Ini terbukti apabila peti undi Pondok Kempas tidak pernah kalah dan menang bergaya pada setiap kali pilihanraya. Kami juga merasakan amat kecewa apabila terdapat ugutan sikologi dari UMNO Cawangan. Contohnya bantuan akan ditarik balik, akan ditahan polis dan melabelkan sesetengah daripada kami menyertai Parti Pembangkang sedang ini tidak berlaku. Sepatutnya UMNO Cawangan tampil membantu bukannya menghina kami seperti ini.

Pada hari ini juga kami merasakan bahawa UMNO diperingkat Cawangan, Bahagian mahupun Negeri tidak mampu membela nasib rakyat bawahan seperti kami. Ini bercanggah dengan konsep 1 Malaysia di mana Rakyat didahulukan seperti yang dilaung-laungkan oleh YAB Perdana Menteri. Ternyata disini UMNO cawangan, bahagian dan Negeri tidak mampu mendokong konsep 1 Malaysia.

Sekian terima kasih.

MAJLIS SOLAT HAJAT KETIGA

|

Majlis solat hajat kali ketiga akan diadakan pada malam ini, diketuai oleh Ustaz Zamri. Semua masyarakat Muslim dijemput hadir, kanak-kanak juga digalakkan hadir.

Tempat : Surau Kesang Pajak, Jasin, Melaka.

1. Solat Maghrib - 7.19 pm.
2. Solat Isyak - 8.34 pm.
3. Solat Hajat.
4. Penutup.

MEMORANDUM BANTAHAN

|

MEMORANDUM BANTAHAN

PEMBINAAN RUMAH PEMBAKARAN MAYAT DAN PERKUBURAN CINA,

DI LOT 441 KG PONDOK KEMPAS, MUKIM SELANDAR, MELAKA.

PENDAHULUAN

Melalui memorandum ini kami Jawatankuasa Bertindak yang mewakili para penduduk Kg Pondok Kempas dan Kg Kesang Pajak memohon jasa baik pihak Yang Amat Mulia Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, YAB Ketua Menteri, YB Sahibus Samaha Mufti Negeri Melaka untuk mengkaji bantahan kami ini dengan penuh rasa tanggungjawab di dunia dan akhirat.

OBJEKTIF

Adalah kami membantah dengan bertujuan untuk mempastikan ;

a) PROJEK PEMBINAAN INI HENDAKLAH DIHENTIKAN SEGERA.

b) KERAJAAN NEGERI DIPOHON MENGALIHKAN KE KAWASAN LAIN YANG TEPAT UNTUK KAUM CINA.

c) BANGUNKAN TAPAK INI DENGAN PROJEK YANG LEBIH EKONOMI DAN MAMPU MEMBANTU KEHIDUPAN RAKYAT SETEMPAT.

d) UNTUK MENJAMIN KELANGSUNGAN SOSIO BUDAYA PENDUDUK YANG TERUS BERADAB

LOKASI

Kedudukan Kg Pondok Kempas adalah di tengah-tengah perjalanan dari Jasin ke Selandar. Kampung terdekat dan bersebelahan dengannya adalah Kg Kesang Pajak. dimana jaraknya dari Bandar Jasin adalah kira-kira 7km manakala ke Pekan Selandar jaraknya juga sekitar 7km . Manakala, dari Bandar Melaka pula adalah direkodkan sejauh 40km. Maka, kedudukan sebenar tapak yang dicadangkan adalah betul-betul di hadapan simpang masuk Estet Cheng Lok, Selandar.

NB: a) pelan atur jalan dari JKR dikepilkan.

b) pelan lokasi tapak projek dari Majlis Perbandaran Jasin juga dikepilkan

CIRI KEPENDUDUKAN

Kelompok bangsa MELAYU dan beragama ISLAM adalah hampir 100% MENETAP di Kg Pondok Kempas dan Kesang Pajak, Jumlah penduduk yang diketahui adalah dianggarkan 1500 orang, di mana golongan tua adalah sekitar 10% manakala golongan pemuda adalah merupakan kelompok utama di kedua-dua kampung ini.

Pekerjaan utama penduduk adalah terdiri dari penoreh getah, buruh, tukang kebun, pekerja kilang dan penternak kambing dan lembu. Hanya sebilangan kecil terdiri daripada kakitangan kerajaan atau pesara.

SEJARAH TAPAK

Tanah yang dijadikan tapak cadangan perkuburan Cina dan rumah pembakaran mayat ini adalah seluas kira-kira 78 ekar. Menurut beberapa orang warga emas di kampung ini, tanah tersebut asalnya adalah tanah pertanian iaitu bekas ladang getah milik seorang Cetti. Kemudian pernah dibeli oleh Persatuan Bekas Perajurit untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan. Tetapi usaha ini dikatakan telah terbengkalai begitu sahaja dan akhirnya tanah tersebut tergadai ke bank. Kini menjadi milik pemaju yang sedang mengussahakan projek tanah perkuburan tersebut.

FAKTOR BANTAHAN

Telah dikenalpasti beberapa aspek utama yang akan menjadi kesan kepada kami adalah:

1. KAEDAH PEMBANGUNAN PROJEK

a. Lokasi tapak projek ini tidak pernah diwartakan oleh pihak PBT Jasin, untuk dimajukan sebagai kawasan perkuburan atau jirat dan rumah bakar mayat.

b. Pemaju projek ini juga telah memulakan kerja tanpa mempamerkan sebarang papan tanda pembangunan yang telah diluluskan,

c. Kawasan tapak pembanguan yang seluas 78 ekar, ini seharusnya mendapat kelulusan dan laporan Jabatan Alam Sekitar dan hal ini telah tidak dilakukan.

2. KESELAMATAN LALULINTAS;

a. Tiadanya laluan masuk utama ke kawasan tapak cadangan projek

b. Jalan utama Jasin-Selandar adalah yang berhadapan simpang masuk estet dikhuatiri amat berbahaya disebabkan selekoh tajam. Kami mohon pihak JKR Cawangan Jalan membuat kajian mendalam dan menyeluruh.

c. Simpang masuk dan selekoh tajam ini adalah laluan utama pihak estet untuk membawa keluar hasil estet ke kilang.

d. Jalan utama ini juga selain berselekoh tajam ianya juga ditambah lagi dengan berbukit tinggi. Jadi, di sepanjang jalan untuk laluan masuk ke tapak projek merupakan kawasan kemalangan utama di kampung ini.

Oleh kerana itu, pihak pemaju menghadapi masalah besar bagi membentuk jalan masuk utama ke tapak projek. Maka itu pihak pemaju amat berminat untuk membeli tanah tapak rumah Tn Hj Abdullah B. Hassan, dan seterusnya menawarkan harga yang cukup tinggi . Namun, kami bersyukur di atas sifat rasa tanggungjawab sosial , beliau telah menolak tawaran ini kerana jika beliau menerimanya ini adalah satu kaedah pengusiran yang terang-terangan dilakukan.

3. KESAN ALAM SEKITAR

a. Tiadanya laporan daripada Jabatan Alam Sekitar, kerana setiap pembangunan yang melebihi kawsan seluas 25 ekar, maka laporan teknikal pembangunan hendaklah dibentangkan.

b. Sistem peparitan yang sedia ada di sekitar kawasan tapak adalah gagal untuk menampung limpahan air hujan akibat langsung tapak projek ini

c. Kawasan kampung ini adalah merupakan laluan mata angin kencang, dan besar kemungkinannya bakal mengundang kejadian angin ribut lebih dahsyat kelak. Kes kejadian ribut di kampung baru-baru ini adalah petanda jelas sebagai bukti rakyat mungkin menampung kerugian yang agak besar .

Dewasa kini penduduk kampung telah pun terseksa dan terpaksa menanggung kesan gangguan lalat yang amat kronik disebabkan wujudnya ladang-ladang ternakan ayam yang sedia ada tanpa ada sebarang penjelasan dan pembelaan dari pihak berkuasa selama ini (dianggarkan 9 buah ladang ternakan ayam di sekitar kampung ini ).

4. KESAN AKTIVITI PERAYAAN

a. Bunyi BISING

b. Lalulintas yang sesak

c. Bau pembakaran mayat yang menjijikan

d. Pembakaran terbuka colok-colok yang besar dan banyak , menghasilkan asap dan bau yang tidak menyenangkan bagi rakyat dan penduduk kita yang beragama ISLAM.

e. Pembawakan sosio budaya yang kurang sihat kepada generasi muda di kampung

f. Kesan psikologi yang amat mendalamkan kepada penduduk terutama yang beragama Islam. Kami akan menanggung seumur hidup rasa tekanan (stress) dan rasa takut terutama di kalangan anak-anak bilamana melihat kawasan kuburan yang luas dan tersergam.

g. Kesan yang paling membimbangkan adalah rasa prejudis dan benci dalam jangkamasa panjang nanti. Bolehkah kita semua menjamin perasaan ini tidak akan timbul?

5. PEMBANGUNAN PROJEK YANG TIDAK MAMPAN EKONOMI

Sesungguhnya projek pembangunan ini adalah langsung tidak memberi sebarang skala ekonomi kepada rakyat dan orang kampung.Bahkan tidak memberikan sebagarn manfaat pun kepada penduduk kampungini. Marilah kita sama-sama membuat satu kiraan kasar melalui timbal-balik keuntungan pembinaan masjid yang ditawarkan, seperti berikut

Kawasan tapak adalah 78 ekar,

Luas 1 ekar mampu menyediakan 310 buah lubang kubur,

Maka jumlahnya adalah, 78 x 310= 24,180 buah lubang

Manakala, secara purata sahaja satu lubang berharga RM 8K

Maka, jumlah jualan lubang secara minima adalah, 24,180 x RM8K = RM 193,440,000.00

Oleh itu, mereka mampu meraih jualan melebihi RM250 juta

MANAKALA,

Pembinaan masjid hanya untuk seluas , 4 ekar

Kos pembinaan masjid bagi menampung 500 orang jemaah, maksima RM 2 juta sahaja.

APAKAH PIHAK MAIM, MENGETAHUI AKAN CARA PEMBERIAN TANAH TAPAK MASJID INI?

KAMI PENDUDUK KAMPUNG TIDAK PERNAH MEMOHON ATAU MENGHARAPKAN PEMBERIAN SAGUHATI TAPAK MASJID BARU SEPERTI INI!

DAN

Pemberian saguhati kepada JKKK asalnya hanya 2 ekar (untuk tujuan tapak mesjid) dengan nilai tidak melebihi RM 70K.

( MOHON LAPORAN KE SPRM, MELAKA UNTUK SIASATAN RASUAH)

JUSTERU ITU KIRAAN SECARA RAMBANG INI TELAH GAGAL MENUNJUKKAN SEBARANG KEUNTUNGAN DI ATAS DUNIAWI JAUH SEKALI UNTUK KIRAAN NILAI TIMBANGAN ILLAHI. DI MANA, MASJID INI MEMERLUKAN PENJAGAAN SEPENUH MASA KELAK, DI MANAKAH SUMBERNYA.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG

a. MEMFAILKAN SAMAN KEPADA PIHAK PBT JASIN, KERANA GAGAL MEWARTAKAN KAWASAN INI

b. LAPORAN KE SPRM, MELAKA DI ATAS SOGOKAN TANAH KEPADA JKKK

LAMPIRAN

a) SENARAI JAWATANKUASA BERTINDAK PENDUDUK

b) KENYATAAN MEDIA DAN KERATAN AKHBAR

c) SURAT BANTAHAN

SOLAT HAJAT DI MASJID SELANDAR

|

Jasin, Melaka - 05/06/09) : Selepas solat Jumaat tengah hari tadi, solat hajat diadakan lagi oleh penduduk Kg. Pondok Kempas, kali ini di Masjid Selandar pula. Khutubah hari ini dibaca oleh Tuan Imam Jamal, beliau benar-benar berasa kesal diatas segala apa yang terjadi.

Hajat pertama penduduk kampung adalah, mahu projek pembinaan Jirat Cina & Memorial Perkuburan itu dihentikan serta merta. Manakala hajat kedua, memohon kepada Allah S.W.T. supaya terbukanya hati para pemimpin negeri dan pemimpin Islam untuk mengambil inisiatif dalam membela nasib penduduk kampung.

Majlis Bacaan Yaasin & Solat Hajat

|

Malam ini, Jawatankuasa Bertindak (JKB) akan menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan solat hajat di Surau Pondok Kempas. Semua masyarakat Muslim dijemput hadir.

7.18 - Solat Maghrib.

Sejurus selepas itu majlis dimulakan.

1. Bacaan Yaasin.
2. Solat Hajat.
3. Solat 'Isyak.
4. Jamuan.
5. Penutup.

Harap maklum.

JKB MENYERAHKAN MEMORANDUM

|

Jasin, Melaka - 03/06/09: Syukur ke hadarat Ilahi, walau pun menghadapi pelbagai rintangan, pihak Jawatankuasa Bertindak (JKB) Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina Pondok Kempas/Kesang Pajak telah berjaya menyerahkan 'Memorandum Bantahan' kepada Tuan Yang DiPertua Melaka, Ketua Menteri Melaka, Sahibus Samahah Mufti Negeri.

8.30 pagi - Rombongan pihak JKB tiba di Kompleks Seri Negeri untuk menyerahkan 'Memorandum' kepada Ketua Menteri, tetapi malangnya Ketua Menteri tiada di situ, beliau dan beberapa Exco bermesyuarat di Kompleks Al-'Azim. Walau bagaimana pun JKB berpeluang bertemu Setiausaha Sulit(SUKS) Ketua Menteri. Pada mulanya SUKS enggan menerima 'Memorandum Bantahan' itu, tetapi setelah didesak oleh pihak JKB, akhirnya beliau menerima 'Memorandum' tersebut. Sejurus selepas itu pihak JKB bertemu Y.B. Khidir di situ juga, Yang Berbahagia Abdullah Hassan, Naib Pengerusi JKB bertanya kepada Y.B. Khidir 'sama ada beliau tahu atau tidak tentang isu Jirat Cina & Memorial Perkuburan terbabit?. Y.B. Khidir menjawab saya tidak tahu!. Abdullah Hassan dengan tegas mempersoalkan kepada Y.B. tersebut, macam mana awak tidak tahu?, itu tandanya Y.B. tidak turun padang!.

9.30 pagi - Sebelum beredar, pihak JKB mengadakan sidang media di lobi Kompleks Seri Negeri.

9.45 pagi - JKB beredar dari Kompleks Seri Negeri dan menuju ke Pejabat Tuan Yang DiPertua Negeri Melaka.

10.00 pagi - Setibanya di situ, JKB bertemu Pegawai Peribadi Tuan Yang DiPertua, kerana di waktu itu Tuan Yang DiPertua belum tiba di pejabat beliau.

10.30 pagi - Tuan Yang DiPertua tiba, maka tercapailah hasrat JBK dan penduduk kampung untuk menyerahkan 'Memorandum' tersebut secara terus kepada Tuan Yang DiPertua. Tuan Yang DiPertua berkata, beliau akan baca dan meneliti 'Memorandum' tersebut, dan mencuba sesuatu menyelesaikan Isu Jirat Cina & Memorial Perkuburan itu.

11.00 pagi - JKB tiba di Jabatan Mufti Negeri Melaka, dan menyerahkan 'Memorandum' kepada wakil Mufti Negeri Melaka.

Insya-Allah, seterusnya pada hari Jumaat ini, peguam yang mewakili JKB dan penduduk kampung akan melakukan injuksi mahkamah.

DEMONSTRASI AMAN SIRI KEDUA!

|

Jasin, Melaka - 31/05/09: Jawatankuasa Bertindak (JKB) Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina Pondok Kempas/Kesang Pajak, dan penduduk jati Kg. Pondok Kempas telah mengadakan Demonstrasi Aman/Perhimpunan siri kedua.

Kalian sudah sedia maklum, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah demi membantah pembinaan Jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat.

2.30 petang - Pihak JKB telah bersiap sedia untuk memulakan perhimpunan, namun begitu setelah hampir setengah jam pihak kami menunggu, penduduk/penyokong yang hadir hanyalah terlalu sedikit.

Ini memperlihatkan bahawa, perhimpunan kali ini agak hambar jika dibandingkan dengan perhimpunan siri pertama, kehadiran hanyalah sekitar 50 orang sahaja. Kerana ramai di antara penyokong-penyokong yakni penduduk jati Kg. Pondok Kempas tidak berpeluang atau takut untuk menghadirkan diri.

(a). Puncanya:

1. Ada yang pergi ke majlis kenduri kahwin saudara mara mereka di lokasi yang agak jauh, lantas mereka tidak sempat pulang untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

2. Sejak awal pagi lagi ada pihak tertentu, telah melakukan lawatan rumah ke rumah untuk mengancam dan menakut-nakutkan penduduk kampung, dengan harapan yang keji supaya penduduk berasa gerun untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

3. Ada maklumat yang tidak sahih, mengatakan banyak sekatan jalanraya yang dilakukan oleh pihak Polis(PDRM)

4. Penduduk berasa gerun untuk hadir, kerana sungguh ramai kehadiran pihak polis yang lengkap bersenjata di sekitar kawasan perhimpunan. Trak polis turut bersiap sedia.

Sebelum sidang media diadakan, pihak OCPD(Ketua Polis Jabatan) mengelilingi dan mengancam Ayahanda saya selaku Naib Pengerusi JKB, dengan memberi pilihan.


(b). Pilihan:

1. Bersurai daripada mengadakan perhimpunan.

2. Jika tidak bersurai, pihak polis akan menahan dan mendakwa Ayahanda saya.

Wajarkah pihak polis melakukan sedemikian rupa?

Lalu Ayahanda saya dengan tegas bertanya, adakah dalam kawasan halaman rumah saya pun tidak boleh?. OCPD tetap ingin menghalang perhimpunan tersebut diadakan dengan berkata, tidak boleh!.

Dalam suasana tegang itu, sdr. Zamzizul bergegas menenangkan keadaan, lantas beliau bertanya kepada OCPD, bagaimana jika diadakan dalam rumah rumah?.

Akhirnya OCPD mengizinkan kami meneruskan perhimpunan, tetapi dengan syarat penduduk/penyokong semua masuk ke dalam rumah. Justeru itu penduduk/penyokong diarahkan masuk ke dalam rumah!.

3.00 petang - Dengan hanya kehadiran penduduk sekitar 50 orang, pihak JKB tetap meneruskan perhimpunan dan sidang media di kawasan anjung rumah kami.

Yang Berbahagia Pengerusi JKB, Mohamad Bin Keling memulakan sidang media. Beliau memberikan serba sedikit alasan dan ancaman negatif kepada penduduk.

(c). Antaranya, Kesan Aktiviti Perayaan :

1. Bunyi BISING

2. Lalulintas yang sesak

3. Bau pembakaran mayat yang menjijikan

4. Pembakaran terbuka colok-colok yang besar dan banyak , menghasilkan asap dan bau yang tidak menyenangkan bagi rakyat dan penduduk kita yang beragama ISLAM.

5. Pembawakan sosio budaya yang kurang sihat kepada generasi muda di kampung

6. Kesan psikologi yang amat mendalamkan kepada penduduk terutama yang beragama Islam. Kami akan menanggung seumur hidup rasa tekanan (stress) dan rasa takut terutama di kalangan anak-anak bilamana melihat kawasan kuburan yang luas dan tersergam.

7. Kesan yang paling membimbangkan adalah rasa prejudis dan benci dalam jangkamasa panjang nanti. Bolehkah kita semua menjamin perasaan ini tidak akan timbul?

Sumber: Memorandum Bantahan

Beliau menegaskan lagi, ini bukanlah isu perkauman, tetapi wajarkah projek pembinaan sedemikian berada di tempat yang berpenduduk? Kaum Cina pun tidak sudi rumah berdekatan kubur, jika ia berlaku hilanglah Fengshui.

Seterusnya sdr. Zulkefli Othman menerangkan tentang langkah-langkah segera akan diambil.

(d). Tindakan:

1. Pada hari Rabu ini, pihak JKB akan menghantar Memorandum Bantahan kepada pihak Ketua Menteri, ahli Exco, Jabatan-jabatan kerajaan negeri Melaka.

2. Laporan kepada SPRM akan dibuat untuk mendakwa dan menyiasat pihak-pihak yang meluluskan projek pembinaan Jirat Cina terbabit.

3. Injuksi mahkamah akan dibuat untuk mencabar keputusan Exco dalam meluluskan projek pembinaan tersebut.

Penutupnya, sdr. Zamzizul membangkitkan semangat penduduk/penyokong dengan berkata.

(e). Kata-kata sakti:

1. Hidup-hidup, hidup Rakyat.

2. Hancur-hancur, hancur PEMAJU!.

3. Lahanat-lahanat, lahanat PEMAJU!.


Tiga dari kiri - Pakcik Ibrahim Baba a.k.a. Veteran ABIM.


Sdr. Adli, Setiausaha Sulit Khas kpd Naib Pengerusi JKB.


OCPD memantau keadaan.


Dari kiri- Tok Laya a.k.a. Pejuang Veteran dan sdr. Md. Dan.


Dari kiri - Adli, Aida Nur Latiffa a.k.a. Srikandi Cilik dan Muna Izzah a.k.a Srikandi Cilik.


Aiman a.k.a. Wira cilik tak kisah, tapi kali ini Aiman kisah untuk turut sama berjuang!.


Antara penyokong yang hadir.


Beberapa anggota polis beruniform lengkap dengan senjata M16 dan juga Special Branch(SB) melakukan
kawalan.


Kurang pasti - Adakah di situ semuanya polis dan SB?.


Timbalan OCPD bertanya sesuatu kepada Pakcik Jamin Jepun.

Dari kiri - Setiausaha JKB, Zamzizul(berbaju putih) dan Yang Berbahagia Pengerusi JKB(bersongkok putih berbaju merah)


Beberapa penyokong berhimpun.


Kurang pasti - Three Musketeers ke itu?. ^_^


Lagi sekitar perhimpunan.


Dari kanan- Siti Tun Teja bersama dua orang Srikandi Jelita.



Dari kanan- Asrul a.k.a. Geng04 dan Arfizal.










Perhimpunan bersurai setelah sidang media tamat.



Dari kiri - Nafees Wafi a.k.a. Wira Cilik dan Muna Izzah a.k.a. Srikandi Cilik menyatakan, kami inginkan keamanan di Kg. Pondok Kempas yang bertuah ini!.

Petikan : K.A.Com