Iklan


Penduduk bimbang kesan projek tanah perkuburan

|


JASIN 18 Mei 2009 - Kira-kira 100 penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak dekat sini melahirkan kebimbangan dan merayu kepada kerajaan negeri supaya menghentikan pembinaan tanah perkuburan Cina di kampung tersebut.

Menurut mereka, pihak yang berkenaan sewajarnya mendapatkan reaksi daripada penduduk di situ yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu sebelum meluluskan pembinaan.

Selain itu, mereka berkata, projek tersebut juga berkait rapat dengan isu alam sekitar yang melibatkan keselesaan hidup penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah projek itu, Muhamad Keling, 53, berkata, sejak awal tahun ini, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pondok Kempas dan Lembaga Masjid Selandar telah mengemukakan bantahan berhubung projek itu kepada kerajaan negeri.

''Namun sehingga kini, penduduk tidak tahu kesudahannya sebaliknya projek pembinaan kubur Cina ini yang melibatkan kawasan seluas lebih 30 hektar di kampung ini sudah 10 peratus dijalankan bermula sebulan lalu," katanya.

Muhamad ditemui pemberita ketika mengetuai kumpulan penduduk di kampung terbabit mengadakan bantahan secara aman mengenai projek pembinaan memorial itu di sini.

Selain itu, katanya, penduduk kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak berbincang serta mengambil kira sensitiviti penduduk kampung berkenaan.

Kata Muhamad, penduduk membantah projek itu diteruskan kerana bimbang akan berlaku pencemaran alam sekitar ekoran kegiatan pembakaran terbuka terutama dalam upacara pembakaran mayat.

Sebelum ini, katanya, penduduk di kampung itu pernah mengalami masalah pencemaran udara yang melibatkan serangan lalat ekoran pembinaan sembilan ladang ternakan ayam di sekitar kampung berkenaan.

''Penduduk amat menghargai keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu kami dalam soal ini dan bagi tujuan itu kita akan mengumpul tanda tangan penduduk sebelum menghantar memorandum bantahan ini kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat ini," katanya.

Muhamad turut mempersoalkan pembinaan memorial itu di kampung Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak memandangkan kawasan lain seperti Machap atau Asahan yang majoritinya diduduki masyarakat Cina.

Selain itu, katanya, penduduk di situ juga bimbang apabila memorial perkuburan itu dibina di kampung tersebut, nilai hartanah di situ akan susut akibat kewujudannya.

Seorang penduduk, Siti Ramona Md. Isa, 62, berkata, kedudukan pembinaan memorial perkuburan Cina itu terlalu hampir dengan kawasan rumahnya.

''Hanya pagar rumah sahaja menjadi pemisah antara kediaman saya dengan memorial tersebut, sukar untuk saya bayangkan keadaan kami sekeluarga apabila memorial itu siap beroperasi nanti.

''Sebagai penternak kambing juga, saya kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menjual ternakan kerana perniagaan yang dijalankan ini sudah tidak sesuai lagi," katanya.

petikan dari Utusan Malaysia

0 comments:

Catat Ulasan