Iklan


GAMBAR TERKINI DI SEKITAR TAPAK PERKUBURAN

|

Salam semua,

Pada 7 Syawal 1431 yang lepas saya berkesempatan untuk melihat bekas rumah orang tua dan sekitar tapak perkuburan. Foto-foto berikut menceritakan segala-galanya.



T.Y.T. MELAWAT KAWASAN PEMBINAAN MEMORIAL

|


Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Pondok Kempas(16/10/09) -
Pada hari Sabtu lepas, Tuan Yang DiPertua Tun Khalil Yaakob telah meluangkan masa sepintas lalu untuk melawat kawasan tapak projek pembinaan Eternal Memorial Park setelah beliau selesai menghadiri jamuan rumah terbuka perayaan Deepavali yang diadakan di Bukit Sedanan.

Walau pun lawatan tersebut hanya sepintas lalu, dan perbincangan dengan penduduk kampung tidak diadakan, kami penduduk Kg. Pondok Kempas tetap berasa terima kasih kepada Tun Khalil Yaakob kerana sudi meluangkan masa untuk meninjau kawasan projek yang kami bantah itu.

Kami berharap ia akan membuahkan hasil yang positif, dan tindakan segera akan diambil bagi menghentikan pembinaan memorial tersebut.

Namun jika sebaliknya, kepada siapalah lagi dapat kami mengharapan bantuan dan pembelaan demi memperjuangkan hak kami?.


"Sesungguhnya hanya kepada Allah tempat kami bergantung dan berharap semata".

Sekian.

Surat Maklumbalas Pihak SUHAKAM

|


Assalamu'alaikum warahmatuLlah wbkt.

AlhamduliLlahi rabbil 'alamin Wassalatu wassalamu 'ala Rasulillah Wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. Amma ba'du.

Segala puji bagi Allah, Rabb semesta 'alam sebagai pembuka kata.

Pihak Jawatankuasa Berindak (JKB) bagi menentang pembinaan jirat Cina, baru-baru ini telah menerima sepucuk surat daripada pihak SUHAKAM. Surat berkenaan merupakan satu maklumbalas yang telah lama dinanti-nantikan dan merupakan sesuatu yang sangat bermakna buat penduduk jati Pondok Kempas yang rindukan keadilan dan pembelaan.

Intipati utama surat berkenaan adalah makluman pihak SUHAKAM bahawa permasalahan berkenaan pembinaan jirat Cina terbabit telahpun dirujuk kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Pihak JKB ingin melahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak SUHAKAM, diatas keperihatinan yang ditunjukkan walaupun sudah agak terlewat. Bak kata pepatah bangsa penjajah, "Better Late then Never".

Adalah menjadi harapan pihak JKB dan penduduk Kampung Pondok Kempas, agar satu tindakan yang lebih proaktif daripada pihak berwajib akan diambil dan sekurang-kurangnya dapat membuka mata semua pihak tentang masalah sebenar yang ingin diketengahkan oleh pihak JKB.

Bahawa isu ini bukan satu isu kecil dan terpinggir malahan isu ini adalah isu Nasional yang melibatkan maruah, martabat dan kepentingan bangsa Melayu sebagai penduduk majoriti di Semenanjung Tanah Melayu yang bertuah ini.

Tekanan demi tekanan yang diterima oleh bangsa Melayu, dari satu isu ke satu isu hanya akan menyemarakkan semangat bangsa Melayu tulin dan prihatin ini, bukannya seperti segelintir bangsa Melayu yang telah pun dikasi dan dimandulkan pemikiran dan semangat juang mereka. Wal'iazubillah.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, AllahuAkbar. WaliLlahil Hamd.

ORANG KAMPUNG KELIRU DENGAN STATUS TANAH/TAPAK MASJID

|

Disunting semula : 25/09/09.

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Bismillah,

Allahumma solli 'ala Muhammad.

Setelah hampir 4 bulan bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh penduduk kampung Pondok Kempas bersama-sama dengan pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Jirat Cina & Rumah Pembakaran Mayat, namun sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa maklum balas juga reaksi yang positif daripada pemimpin atasan sehinggalah pemimpin bawahan yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Pemimpin-pemimpin terbabit terlalu gemar mencari alasan yang tidak munasabah untuk menghalalkan pembinaan Eternal Memorial Park yang dimajukan oleh syarikat Menang Mulia SDN. BHD.

Bahkan kehampaan kami bukan setakat itu sahaja, yang paling mengecewakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam tidak pernah turun padang dan mengadakan sesi dialog dengan penduduk kampung demi mencari kata sepakat.

Sepatutnya mereka haruslah mencari cara dan jalan yang terbaik untuk membantu kami menghentikan pembinaan Eternal Memorial Park tersebut. Apa yang kami inginkan adalah tindakan bijaksana pemimpin, tetapi bukan alasan yang sebegitu rupa.

Antara alasan yang sering dijaja sana sini adalah, pihak pemaju telah memberi 4 ekar tanah untuk didirikan sebuah masjid buat penduduk kampung Pondok Kempas.

Walau bagaimana pun penduduk kampung tidak sudi menerima tanah masjid pemberian pemaju, kerana mereka telah sedia maklum bahawa tanah masjid tersebut adalah suatu pemberian yang berupa sogokan.

Pada 28 Julai, 2009 - Dalam mendapatkan kepastian tentang status tanah masjid tersebut, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) telah pun menghantar surat kepada Sahibus Samahah Mufti Negeri Melaka, namun sehingga kini pihak JKB masih belum menerima reaksi mahu pun jawapan daripada Mufti terbabit.

Pada 30 Julai, 2009 - Majlis kenduri bersama penduduk kampung diadakan di surau Pondok Kempas, turut hadir adalah Ahli Parlimen(MP) Jasin Y.B. Datuk Ahmad Hamzah. Di dalam ucapan beliau, Ahmad Hamzah berkata tanah tapak masjid tersebut telah dibeli oleh pihak kerajaan negeri Melaka dari pihak pemaju bagi mendirikan masjid yang bernilai Rm 3 juta.

Manakala beberapa hari lepas pula pada Malam Syi'ar Ramadhan, takaruf di adakan di surau Pondok Kempas, Y.B. Ahmad Hamzah melontarkan kenyataan yang berbeza daripada kenyataan yang sebelumnya, beliau berkata tidak perlulah kita membantah, kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, dan pihak pemaju amat berbesar hati menghadiahkan tanah 4 ekar untuk didirkan sebuah masjid.

Kedua-kedua kenyataan yang bercanggah itu adalah maklumat yang kami terima daripada penduduk kampung hadir pada majlis tersebut.

Akibat dari kenyataan yang bercanggah itu, kami benar-benar berasa keliru, dan kami tertanya-tanya yang mana satukah kenyataan yang benar oleh Yang Berhormat?.


Sekian,
Wallahu'alam.

Musibah Di Hadapan Memorial.

|

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Pondok Kempas(04/08/09) – Satu kejadian yang mengejutkan berlaku hari ini, apabila sebuah tembok besar yang tersergam indah di hadapan jalan masuk Eternal Memorial Park telah rebah menyembah bumi. Kejadian itu mungkin berpunca daripada hujan lebat yang turun selama lebih kurang 2 jam.


Subhanallah.



Manakala pada jam 2.00 petang semalam, dua kemalangan telah berlaku di hadapan memorial tersebut.

2.00 petang : Sebuah lori treler yang membawa muatan terlalu tinggi, telah menyebabkan muatan yang dibawanya tersangkut pada kabel talian telefon yang terletak di hadapan pintu masuk memorial dan mengheret kabel talian telefon tersebut sehingga mengakibatkan beberapa batang tiang telefon patah dan ada diantaranya bengkok. Kejadian itu menyebabkan tiang telefon dengan kabel yang berselirat bergelimpangan di atas jalan raya.

2.30 petang : Sejurus kemudian satu kemalangan motorsikal pula berlaku. Penunggang dan pembonceng motorsikal cedera apabila motorsikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah tembok di tepi jalan. Punca kemalangan terjadi apabila mangsa cuba mengelak tiang telefon tersebut. Kedua-dua mangsa telah dibawa oleh Encik Aladin ke klinik Selandar untuk mendapatkan rawatan.

Mungkinkah kejadian yang berlaku adalah musibah fasa pertama akibat daripada kewujudan projek pembinaan memorial itu?. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui!.

Oleh itu marilah kita bersama berdoa ke hadrat Ilahi, agar segala musibah dapat dijauhkan, dan penduduk kampung Pondok Kempas terselamat daripada segala mara bahaya dan bencana.

“Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan kembali”.

Sekian,

Wallahu’alam.

Surat JKB Kepada Sahibus Samahah Y. Bhg Mufti Negeri Melaka

|

Assalamu'alaikum,

Pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina, Pondok Kempas telah mengemukakan surat kepada

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini.

Tujuan surat berkenaan dikemukakan adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung status masjid Pondok Kempas yang bakal didirikan diatas

sebidang tanah sumbangan secara "tukar sogok"

daripada pihak pemaju jirat cina berkenaan, Menang Mulia Sdn. Berhad.Berikut adalah isi kandungan penuh surat berkenaan yang telah dikemukakan kepada Yang Berbahagia Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jawatankuasa Bertindak (JKB),

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina ,

Bt. 19 ½ Kg. Pondok Kempas,

77500 Selandar,

Melaka .

Tarikh : 28hb Julai,2009

4hb Sya'ban, 1430H


Kepada :

Yang Berbahagia ,

Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka,

Bangunan MAIM,

Bukit Piatu,

Melaka Bandaraya Bersejarah.


Assalamu'alaikum wm.wb.

Ybhg Sahibus Samahah Datuk,


Per: MOHON PENJELASAN STATUS BAKAL MASJID PONDOK KEMPAS.


Adalah dengan hormat takzimnya saya bagi pihak JKB di atas mohon sudilah kiranya Ybhg Datuk meluangkan sedikit masa untuk meberikan ulasan dan pandangan mengenai pengujudan kariah baru dan pembinaan masjid Pondok Kempas oleh pihak Kerajaan negeri Melaka. Kami difahamkan juga bahawa usaha tersebut bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.


2. Sehubungan dengan itu, kami mohon Ybhg Datuk dapat memberikan penjelasan dan pandangan berdasarkan isu-isu seperti berikut :


2.1. Isu pertama kami ialah mengenai masjid yang bakal dibina itu adalah didirikan di atas tanah seluas 4 ekar yang juga dikatakan termasuk kawasan tanah perkuburan Islam. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa tanah tersebut adalah sumbangan secara tukar sogok daripada pemaju Menang Mulia Sdn. Berhad yang kini sedang melaksanakan projek pembinaan jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat di atas tanah Lot 411 seluas 72 ekar di tengah-tengah kampung Pondok Kempas ini. Sebagaimana yang semua pihak sedia maklum bahawa pelaksanaan projek jirat dan rumah pembakaran mayat tersebut telah pun dibantah oleh penduduk kampung ini (Sila rujuk salinan memorandum kami kepada Datuk yang telah kami serahkan pada dua bulan lalu). Sesungguhnya kami amat dukacita dan berasa sangsi tentang cara tanah tapak masjid itu diperolehi . Pada hemat kami pemaju berkenaan tidak mungkin akan menyumbang secara sukarela jika pihak berkuasa tidak meluluskan permohonan pihak pemaju untuk melaksanakan projek jirat cina itu. Oleh itu, kami inginkan penjelasan Ybhg Datuk tentang apakah boleh kita menerima tanah pemberian secara sogokan tersebut untuk mendirikan masjid?. Kami juga merasakan maruah kami tercabar dan amat terhina, kerana kami tidak langsung diberi pilihan untuk menentukan bagaimana sepatutnya kami mendapatkan sebuah masjid kami sendiri. Memang kami sedar bahawa pihak pemerintah bertanggungjawab menyedikan kemudahan asas dan keperluan rakyatnya seperti pembinaan masjid ini, tetapi kami juga berhak untuk menyuarakan pandangan kami. Sebelum ini kami hanya mendengar desas-desus di warung-warung kopi , tetapi tidak pernah ada mana-mana pihak pun yang memaklumkan atau mengajak kami duduk berbincang tentang perkara ini. Walau bagaimana pun kami berharap sangat penjelasan serta pandangan daripada Ybhg Datuk sendiri mengenai isu tanah tapak masjid yang diterima secara tukar sogok ini.


2.2. Isu kedua ialah mengenai pengujudan kariah baru. Kami difahamkan bahawa pihak Majlis Agama Islam yang tentunya atas arahan atau restu Kerajaan Negeri telah meluluskan kariah baru meliputi seluruh Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Ini bermakna penduduk Islam Kesang Pajak akan terpisah daripada kariah masjid Kesang Tua, manakala penduduk Islam Pondok Kempas akan terpisah daripada kariah masjid Selandar. Namun secara rambang kami telah pun mendapat maklum balas daripada penduduk di kedua-dua kampung ini iaitu Pondok Kempas dan Kesang Pajak bahawa mereka lebih rela kekal berada di kariah masjid Selandar dan Kesang Tua. Ini disebabkan mereka berasa amat kesal dan terkilan dengan masjid tersebut dibina di atas tanah secara tukar sogok dengan jirat Cina. Kami memang berharap untuk berada dalam kariah baru dan menerima masjid baru yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi amat malang kerana kami dihadiahkan sebuah masjid seperti itu. Justeru rasanya kami lebih sedia terus kekal dalam kariah seperti sekarang ini untuk sementara waktu.


3. Oleh itu, sebagai penduduk anak jati Pondok Kempas dan Kesang Pajak kami memohon jasa baik Ybhg Datuk dan juga pihak MAIM/JAIM untuk memikirkan/mengkaji semula tentang ura-ura pengujudan kariah dan penubuhan masjid Pondok Kempas tersebut. Kami juga berharap pihak Ybhg Datuk atau MAIM/JAIM sendiri turun padang mendapatkan maklum balas sebenar daripada seluruh penduduk kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Jika boleh dicadangkan supaya JKKK Pondok Kempas, JKKK Pondok Kempas Hilir bersama-sama majoriti penduduk Islam Pondok Kempas dan Kesang Pajak di ajak berunding terlebih dahulu. Ini juga untuk mengelakkan situasi di mana masjid indah tersergam didirikan nanti tetapi tiada penduduk yang rela/bersedia untuk datang berjemaah di situ .


Sekian, terima kasih. Mohon maaf di atas keterlanjuran kata.


Saya Yang Benar,



MUHAMAD B KELING

Pengerusi,

Jawatankuasa Bertindak

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina

Pondok Kempas/Kesang Pajak.




s.k.

  1. YAB Ketua Menteri Melaka,
  2. Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
  3. Yang Dipertua MAIM
  4. Pengerusi JKKK Pondok Kempas
  5. Pengerusi JKKK Pondok Kempas Hilir
  6. Tuan Imam Masjid Selandar dan Kesang Tua
  7. Datuk Sidang Pondok Kempas
  8. Pihak Media

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Gambar-Gambar Semasa Majlis Solat Hajat

|

Berikut adalah gambar-gambar semasa majlis solat hajat :
































Gambar oleh : Syamsul Amri Abdullah & Ramhiza Ramli.

Lokasi : Di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan,
Bt. 19 1/2, Kg. Pondok Kempas,
Selandar, 77500,
Melaka.