Iklan


ISU KUBUR CINA : JAWAPAN KEPADA TUDUHAN DALAM BLOG

|

Disunting semula : Jam 9.33 malam(22/07/09).


Oleh: Abdullah b Hassan

Melalui Laman Web atau Blog PEMBELA PONDOK KEMPAS saya terbaca beberapa kecaman liar dan serangan peribadi dalam chat box pelawat Blog tersebut yang menamakan diri mereka sebagai Akulah Barua, Hantu Kubur, Mr. Sarif Dol, Gemini, Penyengat Hitam , Pocong, Kambing Yang Berfikir, Tanpa Nama dll. Walaupun pada mulanya saya fikir tidak perlu dijawab, tetapi demi maruah saya dan keluarga , semua tuduhan atau fitnah yang tidak berasas itu perlu diberikan penjelasan. Saya harap semua pelawat blog tersebut yang mencecah angka seramai 400 lebih itu akan memahami situasi atau fakta sebenarnya, insyaAllah. Di bawah ini saya susun satu kronologi peristiwa bantahan terhadap Jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat tersebut. Diharapkan kronologi ini dapat membantu menangkis semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya serta salah faham yang mungkin timbul terutama di peringkat anak- cucu kemudian hari..

1. Akhir Tahun 2007 – Bila mendengar berita tentang ura-ura hendak membina projek kubur Cina secara komersial di atas Lot 411 seluas 72 ekar itu, saya telah mencadangkan supaya JKKK Pondok Kempas Hilir membuat surat bantahan lebih awal. Atas cadangan saya itu serta desakan beberapa orang penduduk, Setiausaha JKKK berkenaan telah pun menghantar surat bersama kira-kira 70 tandatangan penduduk kampung ini yang membantah projek itu. Alhamdulillah, bantahan itu menunjukkan respon yang baik daripada pihak atasan pada awalnya.


2.
April 2008 – Saya susul satu lagi surat bantahan saya secara peribadi ke Pejabat Daerah Jasin kerana ada desas-desus mengatakan projek itu akan diteruskan. Saya juga telah menemui Pengerusi dan S/U JKKK memaklumkan berita tersebut serta bantahan yang akan saya buat.


3.
Pertengahan 2008 – Pengerusi dan S/U JKKK memaklumkan secara lisan kepada saya bahawa pihak kerajaan Negeri telah pun meluluskan projek tersebut dengan janji/ tawaran/sogokan pihak pemaju projek akan memberikan 4 ekar tanah bagi tapak masjid dan tanah perkuburan Islam di kampung ini. Saya terkejut dan berasa amat kesal bila menerima berita ini.


4.
Seterusnya, saya sering menyatakan kepada JKKK terutamanya pihak S/U agar meneruskan bantahan , tetapi saya telah dipujuk oleh Pengerusi supaya tidak meneruskan hasrat itu dengan alasan kita mentimun nak lawan durian, kita tidak akan menang.


5.
Akhir 2008 - Bila projek ini mula dilaksanakan, berkali-kali saya menyatakan kepada beberapa pihak untuk teruskan bantahan. Sebaliknya saya pernah dipujuk supaya tidak meneruskan niat bantahan itu bahkan saya dijanjikan bahawa di sebelah kawasan rumah saya akan dibina sebuah taman memorial tersebut dan janji saya akan dilantik sebagai “orang penting” dalam jawatankuasa masjid itu nanti.


6.
Seterusnya dalam situasi yang tertekan demikian, terutama bila melihat penduduk kampung ini tidak menunjukkan sebarang reaksi positif untuk turut membantah, saya dan isteri terpaksa mendiamkan diri dan seolah-olah berserah kepada takdir. Ketika inilah kontraktor kerja tanah projek kubur cina itu (bukan pemaju) meminta untuk dapat bekalan air dan letrik untuk keperluan para pekerjanya dengan janjinya sendiri untuk membayarkan bil-bil tersebut, Atas rasa perikemanusiaan terhadap pekerjanya itu saya memberi keizinan. Mereka mendapatkan bekalan air dan letrik tersebut kira-kira 3 bulan. Hanya satu bulan bil letrik dan 2 bulan bil air mereka bayar, manakala bulan-bulan berikut termasuk yang mereka telah gunakan kemudahan air/letrik saya sendiri yang bayarkan. Walau bagaimanapun bila Jawatankuasa Bertindak (JKB) ditubuhkan, saya dinasihatkan supaya memberhentikan bekalan air/letrik tersebut. Saya sedar kesilapan saya itu dan mengikut nasihat mereka. Saya bertindak menghentikan serta merta setelah saya memaklum dan mohon maaf kepada para pekerja tersebut. Saya mohon ampun dan bertaubat jika telah termakan wang haram itu.


7.
Dalam situasi tertekan itu juga saya dan isteri telah menyatakan hasrat untuk berpindah. Hasrat untuk berpindah ini saya maklumkan dalam satu majlis makan tengahari/kenduri kecil di rumah adik saya, Zakaria. Pada waktu itu juga, ada 2 orang tampil menyatakan bahawa pihak pemaju jirat tersebut memang berminat untuk membeli tanah (seluas 2 ekar) dan rumah saya. Lalu saya menyatakan kesediaan untuk menjualnya dengan syarat gantikan saya 2 ekar tanah yang jauh daripada jirat tersebut dan bayar harga rumah saya serta gantirugi sewajarnya. Dua orang Hamba Allah berkenaan telah bersetuju menjadi orang tengah untuk berunding dengan pihak pemaju, dan salah seorang daripada mereka meminta diberikan 2 peratus daripada harga jualan nanti.


8.
Mac 2009 – Kedua-dua orang tengah tersebut memberitahu saya bahawa pihak pemaju tersebut tidak sanggup memenuhi syarat menggantikan dua ekar tanah lain seperti yang saya minta sebaliknya hanya mahu membeli tanah dan rumah saya dengan harga RM 350,000 sahaja. Pada waktu itu saya telah memberitahu orang tengah tersebut, jika pihak pemaju tidak mahu memberi 2 ekar tanah gantian tersebut, saya meletakkan harga tanah dan rumah saya ini termasuk nilai sentimental atau gantirugi lain dengan harga RM 1 juta (tawar-menawar masih terbuka). Saya kira ini wajar kerana saya memiliki tanah dan rumah ini dengan harga titik peluh saya dan isteri saya sendiri bukan pusaka atau percuma. Bahkan tanah dan rumah ini merupakan hasil impian kami selama ini yang tidak ternilai harganya dan diharap dapat kekal menjadi aset kami hingga akhir hayat. Adakah tawaran ini menggambarkan sifat tamak saya sehingga menyamakan saya seperti binatang yang bertopengkan manusia? Atau memang hak saya untuk menentukan nilai aset saya sendiri?


9.
Awal Mei 2009 – Dalam satu majlis kenduri arwah beberapa orang penduduk kampung ini telah mencadangkan supaya bantahan diteruskan. Saya sedikit terkejut dengan cadangan tersebut kerana baru saya sedar masih ada penduduk kampung ini yang sensitif dan prihatin. Dan lebih menggembirakan saya bilamana pungutan tandatangan penduduk yang membantah mencecah 300 orang!. Ini bermakna lebih 90 peratus yang membantah, termasuk 9 – 10 orang penduduk India dari Kesang Pajak.


10.
Pertengahan Mei 2009 - Lanjutan daripada perbualan di majlis kenduri arwah tersebut, satu perjumpaan ramai telah diadakan di Kedai Encik Kamal dan seterusnya satu Jawatankuasa Bertindak (JKB) Membantah Rumah Mayat dan Jirat Cina ditubuhkan. Saya amat bersyukur kerana penduduk Kampung telah bangkit membantah sebagaimana yang saya harapkan.


11.
JKB merancang untuk menjadikan isu ini bukan sahaja isu negeri Melaka tetapi juga sebagai isu nasional jika pihak berkuasa kerajaan Negeri tidak memberikan sebarang tindak balas. Pada peringkat awal kami memang merancang untuk tidak melibatkan mana-mana parti pembangkang, walaupun beberapa ahli JKB dan segelintir penyokong adalah ahli parti pembangkang. Namun bila kerajaan negeri tidak memberikan respon yang kami harapkan, barulah kami berusaha melibatkan pembangkang pula supaya isu ini menjadi perhatian semua pihak, termasuk di peringkat nasional. Tindakan ini merupakan langkah kami yang berasaskan strategi yang diatur dari awal lagi. Adakah ini bermakna kami munafik? Adakah orang yang menuduh saya ini memang benar-benar bijaksana (atau bijaksini) dalam politik dan pakar strategik? Jika anda lihat politikawan di peringkat atas walaupun mereka berlainan parti/ideologi, tetapi masih boleh duduk semeja minum kopi. Tetapi kita ini cuma berbeza pandangan tentang kubur cina dah teruk bagai nak berperang. Dah berkerat rotan berpatah arang ! MasyaAllah!


12.
Akhir Mei 2009 – Pada sebelah pagi sebelum Demonstrasi Aman Pertama bagi Membantah Jirat dan Rumah Pembakaran Mayat diadakan 2 orang kuat JKKK datang menemui saya dan memujuk supaya membatalkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi itu. Paling anihnya, waktu ini juga kedua-dua orang kuat tersebut menyatakan bahawa pihak pemaju setuju untuk membeli tanah dan rumah saya pada harga RM 500,000. Pada mulanya saya hampir memutuskan untuk membatalkan demo tersebut bila kedua-duanya cuba sedaya upaya meyakinkan saya bahawa kerja ini sia-sia dan tidak akan berjaya, bahkan akan memecah-belahkan perpaduan keluarga dan orang kampung. Tetapi alhamdulillah akhirnya saya kuatkan semangat dan tetap bersama jawatankuasa bertindak dan orang kampung meneruskan demo bantahan tersebut pada sebelah petangnya.

Setakat ini sahaja kronologi yang dapat saya bentangkan ,manakala yang lainnya sudah sedia ada dalam blog PEMBELA PONDOK KEMPAS tersebut. Saya juga berharap kronologi ini dapat menjawab semua tuduhan dan fitnah liar yang dilemparkan melalui chatt box tersebut. Mengenai Tabung Al-Hassan yang ditohmahkan pada saya oleh Mr. Sarip Dol, saya tidak mahu memberikan apa-apa penjelasan pun di sini, yang boleh mengaibkan mana-mana pihak, kerana ini adalah hal peribadi keluarga arwah ayahanda Sidang Hassan. Jika Mr. Sarip Dol inginkan penjelasan lanjut, sila datang jumpa saya. Mengenai lain-lain tuduhan liar yang berkaitan dengan soal peribadi saya dan keluarga, saya serahkan kepada Allah. Yang baik datangnya dari Allah, yang tidak baik itu dari diri saya sendiri sebagai manusia yang memang tidak sempurna. Para blogger dan pengunjung blog bolehlah buat penilaian sendiri, insyaAllah.

0 comments:

Catat Ulasan