Iklan


ORANG KAMPUNG KELIRU DENGAN STATUS TANAH/TAPAK MASJID

|

Disunting semula : 25/09/09.

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Bismillah,

Allahumma solli 'ala Muhammad.

Setelah hampir 4 bulan bantahan demi bantahan telah dilakukan oleh penduduk kampung Pondok Kempas bersama-sama dengan pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Jirat Cina & Rumah Pembakaran Mayat, namun sehingga kini kami masih belum menerima apa-apa maklum balas juga reaksi yang positif daripada pemimpin atasan sehinggalah pemimpin bawahan yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Pemimpin-pemimpin terbabit terlalu gemar mencari alasan yang tidak munasabah untuk menghalalkan pembinaan Eternal Memorial Park yang dimajukan oleh syarikat Menang Mulia SDN. BHD.

Bahkan kehampaan kami bukan setakat itu sahaja, yang paling mengecewakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam tidak pernah turun padang dan mengadakan sesi dialog dengan penduduk kampung demi mencari kata sepakat.

Sepatutnya mereka haruslah mencari cara dan jalan yang terbaik untuk membantu kami menghentikan pembinaan Eternal Memorial Park tersebut. Apa yang kami inginkan adalah tindakan bijaksana pemimpin, tetapi bukan alasan yang sebegitu rupa.

Antara alasan yang sering dijaja sana sini adalah, pihak pemaju telah memberi 4 ekar tanah untuk didirikan sebuah masjid buat penduduk kampung Pondok Kempas.

Walau bagaimana pun penduduk kampung tidak sudi menerima tanah masjid pemberian pemaju, kerana mereka telah sedia maklum bahawa tanah masjid tersebut adalah suatu pemberian yang berupa sogokan.

Pada 28 Julai, 2009 - Dalam mendapatkan kepastian tentang status tanah masjid tersebut, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) telah pun menghantar surat kepada Sahibus Samahah Mufti Negeri Melaka, namun sehingga kini pihak JKB masih belum menerima reaksi mahu pun jawapan daripada Mufti terbabit.

Pada 30 Julai, 2009 - Majlis kenduri bersama penduduk kampung diadakan di surau Pondok Kempas, turut hadir adalah Ahli Parlimen(MP) Jasin Y.B. Datuk Ahmad Hamzah. Di dalam ucapan beliau, Ahmad Hamzah berkata tanah tapak masjid tersebut telah dibeli oleh pihak kerajaan negeri Melaka dari pihak pemaju bagi mendirikan masjid yang bernilai Rm 3 juta.

Manakala beberapa hari lepas pula pada Malam Syi'ar Ramadhan, takaruf di adakan di surau Pondok Kempas, Y.B. Ahmad Hamzah melontarkan kenyataan yang berbeza daripada kenyataan yang sebelumnya, beliau berkata tidak perlulah kita membantah, kerana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, dan pihak pemaju amat berbesar hati menghadiahkan tanah 4 ekar untuk didirkan sebuah masjid.

Kedua-kedua kenyataan yang bercanggah itu adalah maklumat yang kami terima daripada penduduk kampung hadir pada majlis tersebut.

Akibat dari kenyataan yang bercanggah itu, kami benar-benar berasa keliru, dan kami tertanya-tanya yang mana satukah kenyataan yang benar oleh Yang Berhormat?.


Sekian,
Wallahu'alam.

Musibah Di Hadapan Memorial.

|

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Pondok Kempas(04/08/09) – Satu kejadian yang mengejutkan berlaku hari ini, apabila sebuah tembok besar yang tersergam indah di hadapan jalan masuk Eternal Memorial Park telah rebah menyembah bumi. Kejadian itu mungkin berpunca daripada hujan lebat yang turun selama lebih kurang 2 jam.


Subhanallah.



Manakala pada jam 2.00 petang semalam, dua kemalangan telah berlaku di hadapan memorial tersebut.

2.00 petang : Sebuah lori treler yang membawa muatan terlalu tinggi, telah menyebabkan muatan yang dibawanya tersangkut pada kabel talian telefon yang terletak di hadapan pintu masuk memorial dan mengheret kabel talian telefon tersebut sehingga mengakibatkan beberapa batang tiang telefon patah dan ada diantaranya bengkok. Kejadian itu menyebabkan tiang telefon dengan kabel yang berselirat bergelimpangan di atas jalan raya.

2.30 petang : Sejurus kemudian satu kemalangan motorsikal pula berlaku. Penunggang dan pembonceng motorsikal cedera apabila motorsikal yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebuah tembok di tepi jalan. Punca kemalangan terjadi apabila mangsa cuba mengelak tiang telefon tersebut. Kedua-dua mangsa telah dibawa oleh Encik Aladin ke klinik Selandar untuk mendapatkan rawatan.

Mungkinkah kejadian yang berlaku adalah musibah fasa pertama akibat daripada kewujudan projek pembinaan memorial itu?. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui!.

Oleh itu marilah kita bersama berdoa ke hadrat Ilahi, agar segala musibah dapat dijauhkan, dan penduduk kampung Pondok Kempas terselamat daripada segala mara bahaya dan bencana.

“Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada Allah kami akan kembali”.

Sekian,

Wallahu’alam.

Surat JKB Kepada Sahibus Samahah Y. Bhg Mufti Negeri Melaka

|

Assalamu'alaikum,

Pihak Jawatankuasa Bertindak bagi Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina, Pondok Kempas telah mengemukakan surat kepada

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini.

Tujuan surat berkenaan dikemukakan adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung status masjid Pondok Kempas yang bakal didirikan diatas

sebidang tanah sumbangan secara "tukar sogok"

daripada pihak pemaju jirat cina berkenaan, Menang Mulia Sdn. Berhad.Berikut adalah isi kandungan penuh surat berkenaan yang telah dikemukakan kepada Yang Berbahagia Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Jawatankuasa Bertindak (JKB),

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat dan Jirat Cina ,

Bt. 19 ½ Kg. Pondok Kempas,

77500 Selandar,

Melaka .

Tarikh : 28hb Julai,2009

4hb Sya'ban, 1430H


Kepada :

Yang Berbahagia ,

Sahibus Samahah Datuk Mufti Kerajaan Negeri Melaka,

Bangunan MAIM,

Bukit Piatu,

Melaka Bandaraya Bersejarah.


Assalamu'alaikum wm.wb.

Ybhg Sahibus Samahah Datuk,


Per: MOHON PENJELASAN STATUS BAKAL MASJID PONDOK KEMPAS.


Adalah dengan hormat takzimnya saya bagi pihak JKB di atas mohon sudilah kiranya Ybhg Datuk meluangkan sedikit masa untuk meberikan ulasan dan pandangan mengenai pengujudan kariah baru dan pembinaan masjid Pondok Kempas oleh pihak Kerajaan negeri Melaka. Kami difahamkan juga bahawa usaha tersebut bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.


2. Sehubungan dengan itu, kami mohon Ybhg Datuk dapat memberikan penjelasan dan pandangan berdasarkan isu-isu seperti berikut :


2.1. Isu pertama kami ialah mengenai masjid yang bakal dibina itu adalah didirikan di atas tanah seluas 4 ekar yang juga dikatakan termasuk kawasan tanah perkuburan Islam. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa tanah tersebut adalah sumbangan secara tukar sogok daripada pemaju Menang Mulia Sdn. Berhad yang kini sedang melaksanakan projek pembinaan jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat di atas tanah Lot 411 seluas 72 ekar di tengah-tengah kampung Pondok Kempas ini. Sebagaimana yang semua pihak sedia maklum bahawa pelaksanaan projek jirat dan rumah pembakaran mayat tersebut telah pun dibantah oleh penduduk kampung ini (Sila rujuk salinan memorandum kami kepada Datuk yang telah kami serahkan pada dua bulan lalu). Sesungguhnya kami amat dukacita dan berasa sangsi tentang cara tanah tapak masjid itu diperolehi . Pada hemat kami pemaju berkenaan tidak mungkin akan menyumbang secara sukarela jika pihak berkuasa tidak meluluskan permohonan pihak pemaju untuk melaksanakan projek jirat cina itu. Oleh itu, kami inginkan penjelasan Ybhg Datuk tentang apakah boleh kita menerima tanah pemberian secara sogokan tersebut untuk mendirikan masjid?. Kami juga merasakan maruah kami tercabar dan amat terhina, kerana kami tidak langsung diberi pilihan untuk menentukan bagaimana sepatutnya kami mendapatkan sebuah masjid kami sendiri. Memang kami sedar bahawa pihak pemerintah bertanggungjawab menyedikan kemudahan asas dan keperluan rakyatnya seperti pembinaan masjid ini, tetapi kami juga berhak untuk menyuarakan pandangan kami. Sebelum ini kami hanya mendengar desas-desus di warung-warung kopi , tetapi tidak pernah ada mana-mana pihak pun yang memaklumkan atau mengajak kami duduk berbincang tentang perkara ini. Walau bagaimana pun kami berharap sangat penjelasan serta pandangan daripada Ybhg Datuk sendiri mengenai isu tanah tapak masjid yang diterima secara tukar sogok ini.


2.2. Isu kedua ialah mengenai pengujudan kariah baru. Kami difahamkan bahawa pihak Majlis Agama Islam yang tentunya atas arahan atau restu Kerajaan Negeri telah meluluskan kariah baru meliputi seluruh Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Ini bermakna penduduk Islam Kesang Pajak akan terpisah daripada kariah masjid Kesang Tua, manakala penduduk Islam Pondok Kempas akan terpisah daripada kariah masjid Selandar. Namun secara rambang kami telah pun mendapat maklum balas daripada penduduk di kedua-dua kampung ini iaitu Pondok Kempas dan Kesang Pajak bahawa mereka lebih rela kekal berada di kariah masjid Selandar dan Kesang Tua. Ini disebabkan mereka berasa amat kesal dan terkilan dengan masjid tersebut dibina di atas tanah secara tukar sogok dengan jirat Cina. Kami memang berharap untuk berada dalam kariah baru dan menerima masjid baru yang disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi amat malang kerana kami dihadiahkan sebuah masjid seperti itu. Justeru rasanya kami lebih sedia terus kekal dalam kariah seperti sekarang ini untuk sementara waktu.


3. Oleh itu, sebagai penduduk anak jati Pondok Kempas dan Kesang Pajak kami memohon jasa baik Ybhg Datuk dan juga pihak MAIM/JAIM untuk memikirkan/mengkaji semula tentang ura-ura pengujudan kariah dan penubuhan masjid Pondok Kempas tersebut. Kami juga berharap pihak Ybhg Datuk atau MAIM/JAIM sendiri turun padang mendapatkan maklum balas sebenar daripada seluruh penduduk kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak. Jika boleh dicadangkan supaya JKKK Pondok Kempas, JKKK Pondok Kempas Hilir bersama-sama majoriti penduduk Islam Pondok Kempas dan Kesang Pajak di ajak berunding terlebih dahulu. Ini juga untuk mengelakkan situasi di mana masjid indah tersergam didirikan nanti tetapi tiada penduduk yang rela/bersedia untuk datang berjemaah di situ .


Sekian, terima kasih. Mohon maaf di atas keterlanjuran kata.


Saya Yang Benar,



MUHAMAD B KELING

Pengerusi,

Jawatankuasa Bertindak

Membantah Pembinaan Rumah Bakar Mayat & Jirat Cina

Pondok Kempas/Kesang Pajak.




s.k.

  1. YAB Ketua Menteri Melaka,
  2. Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
  3. Yang Dipertua MAIM
  4. Pengerusi JKKK Pondok Kempas
  5. Pengerusi JKKK Pondok Kempas Hilir
  6. Tuan Imam Masjid Selandar dan Kesang Tua
  7. Datuk Sidang Pondok Kempas
  8. Pihak Media

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Gambar-Gambar Semasa Majlis Solat Hajat

|

Berikut adalah gambar-gambar semasa majlis solat hajat :
































Gambar oleh : Syamsul Amri Abdullah & Ramhiza Ramli.

Lokasi : Di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan,
Bt. 19 1/2, Kg. Pondok Kempas,
Selandar, 77500,
Melaka.

SOLAT HAJAT & TAKZIRAH MAGHRIB

|

Oleh : Khairul Adli Abdullah.

Pondok Kempas(31/07/09) - Pada hari Jumaat malam Sabtu lepas, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) telah mengadakan majlis solat hajat dan jamuan makan malam.

Majlis tersebut, diadakan di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan, Naib Pengerusi JKB, dan dipimpin oleh Yang Berbahagia Ust. Badrul Amin Bahrom(bekas pensyarah UIAM).

Hadirin yang hadir pada malam itu adalah seramai 120 orang. Turut hadir adalah pemimpin utama JKB, En. Mohamad b. Keling, Pengerusi JKB.

Solat hajat tersebut adalah kali ke empat anjuran pihak JKB. Dalam keadaan yang tidak pasti, penduduk hanya mampu memanjatkan doa kepada Ilahi, kerana hanya Dialah tempat mengadu dan memohon pertolongan.

Setelah selesainya solat Maghrib, majlis dimulakan dengan tazkirah lebih kurang dalam masa 15-20 minit.

(a). Antara intipati tazkirah :

1. Mengambil iktibar dari peristiwa Isra' dan Mikraj, serta pengajaran dari perjuangan Rasulullah S.A.W.

2. Turut dibicarakan permasalahan ummah masa kini, katanya Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran amat hebat, namun isu sunni-syiah masih tidak selesai sehingga kini. Jadi siapakah umat Islam boleh harapkan, adakah OIC?.

3. Amat pentingnya gerakan masjid, untuk membina kekuatan ummah. Seperti di negeri Selangor sekarang ini, setiap kali waktu solat di masjid-masjid jemaahnya pasti ramai dan melebihi satu saff.

4. Mengenai kezaliman demi kezaliman yang berlaku masa kini, adalah akibat apabila hati seeorang manusia itu sudah bertukar menjadi haiwaniah atau syaitaniah. Namun setiap insan itu mempunyai dhamir(hati kecil), apabila melakukan dosa, rasa bersalah itu pasti ada sekali pun ia cuba menafikankannya.

Setelah tazkirah tersebut selesai, Ust. Badrul Amin mengimamkan solat 'Isyak, dan seterusnya solat hajat dimulakan.

(b). Antara hajat jemaah dan penduduk :

1. Diberikan keselamatan kepada semua ahli keluarga.

2. Pembinaan Eternal Memorial Park - Rumah Pembakaran Mayat & Jirat Cina komersial yang terletak di tengah-tengah Kg. Pondok Kempas ini, dipindahkan ke tempat yang lebih strategik dan jauh daripada kawasan kampung/berpenduduk.

3. Dihindarkan dari segala musibah,

4. Disembuhkan penyakit bagi kalangan penduduk kampung yang sakit, serta dijauhkan dari segala macam penyakit termasuklah H1N1.

Derma kilat turut dilancarkan bagi membantu meringankan beban salah seorang individu/penduduk kampung yang ditimpa musibah, kerana isteri dan anak individu terbabit mengalami masalah penyakit yang serius. Isterinya mengalami penyakit kencing manis/diabetis dan darah tinggi, manakala anaknya mengalami penyakit kegagalan buah pinggang.

Syukur ke hadrat Ilahi, kerana cuaca yang baik pada malam itu menjadikan majlis tersebut berjalan dengan sempurna.

Sekian.

WWF Malaysia Terkejut Melaka Akan Majukan Pulau Upeh (Petikan Bernama.com, 27 Julai, 2009 23:08 PM)

|

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- WWF- Malaysia terkejut dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam bahawa Pulau Upeh, kawasan pantai penetasan utama penyu karah akan dibangunkan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata rancangan ini muncul walaupun WWF-Malaysia mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri itu mengenai pentingnya Pulau Upeh dan pantai penetasan utama penyu karah lain.

WWF-Malaysia menekankan pada pertemuan itu bahawa perlindungan undang-undang bagi semua pantai penetasan utama termasuk seluruh Pulau Upeh diperlukan, kata beliau dalam kenyataan di sini Isnin.

Ia juga menekankan bahawa hanya kesan rendah penyu berasaskan ekopelancongan yang jelas di pulau itu sementara negeri ini memperoleh pendapatan daripada pelancongan serta bagi memastikan survival penyu karah.

Beliau berkata meneruskan pembangunan tanpa mengambilkira keuntungan dan kesan pembangunan terhadap populasi penyu, akan memberi kesan yang tidak baik terhadap habitat penetasan.

"Bagi memberi ruang pada pembangunan yang terancang, kerajaan negeri janganlah melaksanakan penambakan tanah di atas atau berhampiran dengan pulau. Sebarang penambakan seperti itu akan memberikan kesan yang tidak baik kepada penyu," tambah beliau.

Beliau berkata kini pantai penetasan di Melaka termasuk Pulau Upeh tidak dilindungi secara sah. Pemuliharaan penyu karah di Pulau Upeh bergantung pada perlindungan undang-undang di seluruh pulau tersebut.

"Kehidupan penyu berasaskan ekopelancongan bergantung pada penyu kembali ke Pulau Upeh untuk menetas setiap tahun. Rantau Abang adalah satu contoh di mana penyu berasaskan pelancongan didapati salah," kata Dr Dionysius.

-- BERNAMA

Solat Hajat Kali Ke 4

|


Majlis Solat Hajat & Tazkirah Maghrib

Tarikh :
31 Julai 2009(Jumaat)

Masa :
7.00 malam

Tempat :
Di perkarangan rumah Tn. Hj. Abdullah b. Hassan,
Bt. 19 1/2, Kg. Pondok Kempas,
Selandar, 77500,
Melaka

Untuk keterangan lanjut sila hubungi :
S/U Jawatankuasa Bertindak,
Sdr. Zamzizul Nordin,
Tel - 019-6552646

Semua dijemput hadir