Pondok Kempas(18/07/09)- Pada hari Sabtu lepas, UMNO cawangan Jasin mengadakan kenduri, marhaban, berzanji di rumah Pengerusi JKKK, Borhan Hassan. Ia berkemungkinan adalah untuk mengambil hati penduduk Kg. Pondok Kempas, tetapi bukan untuk membantu menghentikan pembinaan memorial perkuburan di Kg. Pondok Kempas. Turut hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Negeri, Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Md. Yunos Husin, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) kawasan Bemban, Chua Kheng Hwa.
Persoalannya, benarkah pembinaan memorial tersebut mengikut keperluan?. Tetapi keperluan untuk siapa?.
Serah Memorandum Kepada Ketua Pembangkang Malaysia :
Pondok Kempas(19/07/09)- Pada Ahad lepas, pihak Jawatankuasa Bertindak(JKB) Membantah Pembinaan Rumah Mayat & Jirat Cina telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memorandum tersebut diserahkan secara terus oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Abdullah b. Hassan. Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Encik Mohamad b. Keling, AJK Jawatankuasa Bertindak. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan Malaysia, sdr. Shamsul Iskandar Md. Akin. Anwar Ibrahim berkata, saya akan membantu menyelesaikan isu kubur Cina terbabit. Kami mendesak supaya kerajaan negeri Melaka mengkaji semula pembinaan memorial tersebut seperti yang termaktub dalam memorandum bantahan yang telah kami serahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Kami penduduk Kg. Pondok Kempas amat berharap isu ini akan dibawa ke Parlimen oleh Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya ia akan menjadi isu nasional.
Kesimpulannya : Jika melakukan kejahatan sudah tentu mendapat tohmahan dan cacian, manakala berbuat kebaikan juga adakalanya mendapat tohmahan dan cacian, tetapi yang membezakan antara dua perbuatan tersebut adalah siapakah yang dipandang mulia di sisi Allah S.W.T. Wallahu'alam.
Melalui Laman Web atau Blog PEMBELA PONDOK KEMPAS saya terbaca beberapa kecaman liar dan serangan peribadi dalam chat box pelawat Blog tersebut yang menamakan diri mereka sebagai Akulah Barua, Hantu Kubur, Mr. Sarif Dol, Gemini, Penyengat Hitam , Pocong, Kambing Yang Berfikir, Tanpa Nama dll. Walaupun pada mulanya sayafikirtidak perlu dijawab, tetapi demi maruah saya dan keluarga , semua tuduhan atau fitnah yang tidak berasas itu perlu diberikan penjelasan. Saya harap semua pelawatblog tersebut yang mencecah angka seramai 400 lebih itu akan memahami situasi atau fakta sebenarnya, insyaAllah. Di bawah ini saya susun satu kronologi peristiwa bantahan terhadap Jirat Cina dan Rumah Pembakaran Mayat tersebut. Diharapkan kronologi ini dapat membantu menangkis semua tuduhan yang dilemparkan terhadap saya serta salah faham yang mungkin timbul terutama di peringkat anak- cucu kemudian hari..
1.Akhir Tahun 2007 – Bila mendengar berita tentang ura-ura hendak membina projek kubur Cina secara komersial di atas Lot 411 seluas 72 ekar itu, saya telah mencadangkan supaya JKKK Pondok Kempas Hilir membuat surat bantahan lebih awal. Atas cadangan saya itu serta desakan beberapa orang penduduk, Setiausaha JKKKberkenaan telah pun menghantar surat bersama kira-kira 70 tandatangan penduduk kampung ini yang membantah projek itu. Alhamdulillah, bantahan itu menunjukkan respon yang baik daripada pihak atasan pada awalnya.
2.April 2008 – Saya susul satu lagi surat bantahan saya secara peribadi ke Pejabat Daerah Jasin kerana ada desas-desus mengatakan projek itu akan diteruskan. Saya juga telah menemuiPengerusi dan S/U JKKK memaklumkan berita tersebut serta bantahan yang akan saya buat.
3.Pertengahan 2008 – Pengerusi dan S/U JKKKmemaklumkan secara lisan kepada saya bahawa pihak kerajaan Negeri telah pun meluluskan projek tersebut dengan janji/ tawaran/sogokan pihak pemaju projekakan memberikan 4 ekar tanah bagi tapak masjid dan tanah perkuburan Islam di kampung ini. Saya terkejut dan berasa amat kesal bila menerima berita ini.
4.Seterusnya, saya sering menyatakan kepada JKKK terutamanya pihak S/U agar meneruskan bantahan , tetapi saya telah dipujuk oleh Pengerusisupaya tidak meneruskan hasrat itu dengan alasan kita mentimun nak lawan durian, kita tidak akan menang.
5.Akhir2008 - Bila projek ini mula dilaksanakan, berkali-kali saya menyatakan kepada beberapa pihak untuk teruskan bantahan. Sebaliknya saya pernah dipujuk supayatidak meneruskan niat bantahan itu bahkan saya dijanjikan bahawa di sebelah kawasan rumah saya akan dibina sebuah taman memorial tersebut dan janji saya akan dilantik sebagai “orang penting” dalamjawatankuasa masjid itu nanti.
6.Seterusnya dalam situasi yang tertekan demikian, terutama bila melihat penduduk kampung ini tidak menunjukkan sebarang reaksi positif untuk turut membantah, saya dan isteri terpaksa mendiamkan diri dan seolah-olah berserah kepada takdir. Ketika inilah kontraktor kerja tanah projek kubur cina itu (bukan pemaju) meminta untuk dapat bekalan air dan letrik untuk keperluan para pekerjanya dengan janjinya sendiri untuk membayarkan bil-bil tersebut, Atas rasa perikemanusiaan terhadap pekerjanya itu saya memberi keizinan. Mereka mendapatkan bekalan air dan letrik tersebut kira-kira3 bulan. Hanya satu bulan bil letrik dan 2 bulan bil air mereka bayar, manakala bulan-bulan berikut termasuk yang mereka telah gunakan kemudahan air/letrik saya sendiri yang bayarkan. Walau bagaimanapun bila Jawatankuasa Bertindak (JKB) ditubuhkan, saya dinasihatkan supaya memberhentikan bekalan air/letrik tersebut. Saya sedar kesilapan saya itu dan mengikut nasihat mereka. Saya bertindakmenghentikan serta mertasetelah saya memaklum dan mohon maaf kepada para pekerja tersebut. Saya mohon ampun dan bertaubat jika telah termakan wang haram itu.
7.Dalam situasi tertekan itu juga saya dan isteritelah menyatakan hasrat untuk berpindah. Hasratuntuk berpindah ini saya maklumkan dalam satu majlis makan tengahari/kenduri kecil di rumah adik saya, Zakaria. Pada waktu itu juga, ada 2 orangtampil menyatakan bahawa pihak pemaju jirat tersebut memang berminat untuk membeli tanah (seluas 2 ekar) dan rumah saya. Lalu saya menyatakan kesediaan untuk menjualnya dengan syarat gantikan saya 2 ekar tanah yang jauh daripada jirat tersebut dan bayar harga rumah saya serta gantirugi sewajarnya. Dua orang Hamba Allah berkenaan telah bersetujumenjadi orang tengah untuk berunding dengan pihak pemaju,dan salah seorang daripada mereka meminta diberikan 2 peratus daripada harga jualan nanti.
8.Mac 2009 – Kedua-dua orang tengahtersebut memberitahu saya bahawa pihak pemaju tersebut tidak sanggup memenuhi syaratmenggantikan dua ekar tanah lain seperti yang saya minta sebaliknya hanya mahu membeli tanah dan rumah saya dengan harga RM 350,000 sahaja. Pada waktu itu saya telah memberitahu orang tengah tersebut, jika pihak pemaju tidak mahu memberi 2 ekar tanah gantian tersebut, saya meletakkan harga tanah dan rumah saya ini termasuk nilai sentimental atau gantirugi lain dengan harga RM 1 juta(tawar-menawar masih terbuka). Saya kira ini wajar kerana saya memiliki tanah dan rumah ini dengan harga titik peluh saya dan isteri saya sendiri bukan pusaka atau percuma. Bahkan tanah dan rumah ini merupakan hasil impian kami selama ini yang tidak ternilai harganya dan diharap dapat kekal menjadi aset kami hingga akhir hayat. Adakah tawaran ini menggambarkan sifat tamak saya sehingga menyamakan saya seperti binatang yang bertopengkan manusia? Atau memang hak saya untuk menentukan nilai aset saya sendiri?
9.Awal Mei 2009 – Dalam satu majlis kenduri arwah beberapa orang penduduk kampung ini telah mencadangkan supaya bantahan diteruskan. Sayasedikit terkejut dengan cadangan tersebut kerana baru saya sedar masih ada penduduk kampung ini yang sensitif dan prihatin. Dan lebih menggembirakan saya bilamana pungutan tandatangan penduduk yang membantah mencecah 300 orang!. Ini bermakna lebih 90 peratus yang membantah, termasuk 9 – 10 orang penduduk India dari Kesang Pajak.
10.Pertengahan Mei 2009 - Lanjutan daripada perbualandi majlis kenduri arwah tersebut, satu perjumpaan ramai telah diadakan di Kedai Encik Kamal dan seterusnya satu Jawatankuasa Bertindak (JKB) Membantah Rumah Mayat dan Jirat Cina ditubuhkan. Saya amat bersyukur kerana penduduk Kampung telah bangkit membantah sebagaimana yang saya harapkan.
11.JKB merancang untuk menjadikan isu ini bukan sahaja isu negeri Melaka tetapi juga sebagai isu nasional jika pihak berkuasa kerajaan Negeri tidak memberikan sebarang tindak balas. Pada peringkat awal kami memang merancang untuk tidak melibatkan mana-mana parti pembangkang, walaupun beberapa ahliJKB dan segelintir penyokong adalah ahli parti pembangkang. Namun bila kerajaan negeri tidak memberikan respon yang kami harapkan, barulah kami berusaha melibatkan pembangkang pula supaya isu ini menjadi perhatian semua pihak, termasuk di peringkat nasional.Tindakan ini merupakan langkah kami yang berasaskan strategi yang diatur dari awal lagi. Adakah ini bermakna kami munafik? Adakahorang yang menuduh saya ini memang benar-benar bijaksana (atau bijaksini) dalam politik dan pakar strategik?Jika anda lihat politikawan di peringkat atas walaupun mereka berlainan parti/ideologi, tetapi masih boleh duduk semeja minum kopi. Tetapi kita ini cuma berbeza pandangan tentang kubur cina dah terukbagai nak berperang. Dah berkerat rotan berpatah arang ! MasyaAllah!
12.Akhir Mei 2009 – Pada sebelah pagi sebelum Demonstrasi Aman Pertama bagi Membantah Jirat dan Rumah Pembakaran Mayatdiadakan2 orang kuat JKKK datang menemui saya dan memujuk supaya membatalkan hasrat untuk mengadakan demonstrasiitu. Paling anihnya, waktu ini juga kedua-dua orang kuat tersebut menyatakan bahawa pihak pemaju setuju untuk membeli tanah dan rumah saya pada harga RM 500,000. Pada mulanya saya hampir memutuskan untuk membatalkan demo tersebut bila kedua-duanya cuba sedaya upaya meyakinkan saya bahawa kerja ini sia-sia dan tidak akan berjaya, bahkan akan memecah-belahkan perpaduan keluarga dan orang kampung. Tetapialhamdulillah akhirnya saya kuatkan semangat dan tetap bersama jawatankuasa bertindak dan orang kampung meneruskan demo bantahan tersebut pada sebelah petangnya.
Setakat ini sahaja kronologi yang dapat saya bentangkan ,manakala yang lainnya sudah sedia ada dalam blog PEMBELA PONDOK KEMPAS tersebut. Saya juga berharap kronologi ini dapat menjawab semua tuduhan dan fitnah liar yang dilemparkan melalui chatt box tersebut. Mengenai Tabung Al-Hassan yang ditohmahkan pada saya oleh Mr. Sarip Dol, saya tidak mahu memberikan apa-apa penjelasan pun di sini, yang boleh mengaibkan mana-mana pihak, kerana ini adalah hal peribadi keluarga arwah ayahanda Sidang Hassan. Jika Mr. Sarip Dol inginkan penjelasan lanjut, sila datang jumpa saya. Mengenailain-lain tuduhan liar yang berkaitan dengan soal peribadi saya dan keluarga, saya serahkan kepada Allah. Yang baik datangnya dari Allah, yang tidak baik itu dari diri saya sendiri sebagai manusia yang memang tidak sempurna. Para blogger dan pengunjungblog bolehlah buat penilaian sendiri, insyaAllah.
Petikan Malaysia Kini - Isu kubur Cina: Tiada ahli Umno keluar parti
Muda Mohd Noor
Jul 8, 09
4:55pm
Umno bahagian Jasin menafikan 80 ahli cawangan Kampung Pondok Kempas keluar parti kerana membantah projek pembinaan kubur Cina seluas 80 ekar di kampung itu.
Setiausaha Umno bahagian, Ghazali Muhamad berkata, mereka tidak keluar parti tetapi mengugut berbuat demikian supaya kerajaan negeri memenuhi tuntutan mereka dengan membatalkan projek pembinaan kubur berkenaan....klik di sini untuk selanjutnya... -----------------------------------------------------------------------------------------------
Merujuk kenyataan YB Tuan Hj Ghazali Muhamad dalam Laman Web Malaysia Kini pada tarikh 8 Julai, 09, saya Mohamad Bin Keling, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menentang Pembinaan Rumah Mayat dan Jirat Cina di Pondok Kempas berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk menjawab dan membuat beberapa penjelasan sertapembetulan mengenai kenyataan tersebut.
Pertamasaya melihat kenyataan tersebut adalah kurang tepat dan tidak berdasarkan fakta yang benar. Berhubung dengan tindakan seramai 80 ahli UMNO cawangan Pondok Kempas/Kesang Pajak keluar parti bukanlah suatu ugutan atau main wayang untuk mendapat perhatian berkaitan dengan desakan kami untuk membatalkan projek pembinaan rumah mayat dan jirat cina tersebut. Memang benar kami belum menghantar surat rasmi keluar parti kepada UMNO, tetapi sedarkah YBbahawa Mesyuarat Agung UMNO cawangan ini yang diadakan di bengkel Encik Zakaria Hassan baru-baru ini hanya dihadiri sekitar 30 orang ahli sahaja termasuk kanak-kanak. Sedangkan ahli berdaftar bagi cawangan ini adalah seramai hampir 300 orang. Manakah perginya ahli-ahli yang lain itu? YB Datuk Hj Ahmad Hamzah yang hadir pada malammesyuarat Agung tersebut boleh mengesahkan perkara ini.
Kedua, saya dan ahli-ahli JK Bertindak dan penduduk Kampung ini yang kurang cerdik bahkan dianggap bodoh oleh Pengerusi UMNO merangkap Pengerusi JKKK Pondok Kempas Hilir, kami sedar bahawa jirat dan rumah mayat yang didirikan di atas tanah Lot 411 adalah geran besar dan milik persendirian. Tetapi sedarkah YB Tn Hj Ghazali, siapakah yang bertanggung-jawab meluluskan perubahan syarat tanah tersebut daripada tanah pertanian kepada perkuburan? Begitu mudahkah mana-mana pemilik tanah persendirian untuk membuat kubur, atau kilang arakkah atau apa saja di atas tanah mereka? Apakah negara kita tidak mempunyai undang-undang atau dasar serta garis panduan bagi melaksanakan sebarangprojek seperti ini? Inilah yang menghairankan kami.
Di samping itu, jika dikatakan oleh YB bahawa perkuburan tersebut adalah perkuburan cina tunggal di Jasin, kenapa pilih lokasinya di tengah-tengah kampung kami.Bahkan yang lebih mendukacitakan ialah perkuburan tersebut tidak sampai pun 100 meter jaraknya daripada rumah penduduk kampung. Tidak adakah kawasan lain di Jasin ini yang lebih sesuai untuk tujuan tersebut?
Di sini, saya ingin mempersoalkan mengapakah UMNO yang selama ini melaungkan perjuangannya demi agama, bangsa dan negara tidak langsung memikirkannasib dan masa depan orang Melayu/Islamdi sini? Sedarlah YB, kami bukan bercakap atas dasar perkauman sempit, tetapi berdasarkan pandangan jauh dan hujah yang kukuh, bukan secara emosional. Sedarkah YB serta para pemimpin UMNO lain yang merasakan telah bertindak bijak, bahawa pembinaan jirat Cina di tengah-tengah kampung Melayu itu akan menimbulkan rasa prasangka atau prejudis. Ini adalah fitrah manusia. Dari segi psikologi, dalam jangka masapanjang perasaan prejudis itu akan menimbulkan rasa benci dan dendam secara sedar atau tidak. Oleh itu, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab memupuk perasaan benci dan perkauman ini? Adakah kami orang kampung yang dikatakan bodoh ini atautangan-tangan yang meluluskan projek tersebut pada hari ini? Lebih jauh lagi jika beginilah cara berfikir para pemimpin UMNO kini, dapatkah impian “1 Malaysia” seperti yang di war-war YAB Perdana Menteri itu tercapai? Berdasarkan fakta ini, bolehkah YB mengatakan kami penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak tidak tahu bersikap bertolak ansur dalam masyarakat majmuk ini?
Ketiga, berhubung dengan isu pemberian tanah seluas 4 ekar (bukan 4 hektar seperti yang YB nyatakan ) oleh syarikat pemilik kubur cinauntuk dijadikan tapak masjid dan tanah perkuburan Islam. Sedarkah YB, pemberian tersebut ada udang di sebalik batu ? Pada hemat kami pemberian tersebut semacam sogokanuntuk mendapatkan kelulusansyarikat tersebut membina tanah perkuburan cina seluar 72 ekar di atas tanah Lot 411 itu. Apakah pada pandangan YB Tuan Hj Ghazali, penduduk Islam di sini tidak ada rupa atau tidak mampu untuk mendapatkansendiri tapak masjid tersebut? Mana maruah kami dan UMNO sendiri yang kononnya lantang memperjuangkan Islam? Amat memalukan!
Untuk pengetahuan YB dan para pemimpin UMNO, kami penduduk Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak ingin menyatakan bahawa kami lebih rela lambat dapat masjid dan tanah perkuburan Islam itu daripada menerima tanah dan masjid secara tukar sogok dengan jirat cina. Kebanyakan penduduk (kecuali Pengerusi dan ahli-ahli JKKK) di sini lebih rela kekal seperti sekarang, iaitu penduduk Kesang Pajak kekalahli kariah Masjid Kesang Tua dan penduduk Pondok Kempas kekal ahli kariah masjid Selandar.
Keempat, YB ada menyebutkanbahawa UMNO Bahagian Jasin telah mengadakan perbincangan dengan pendudukl Kampung ini. Saya amat kesal dengan kenyataan yang palsu ini. Kami ingin bertanya bila dan di manakah perbincangan itu diadakan ? Setahu kami JKKK Pondok Kempas Hilir pun tidak pernah membawa kami berbincang dalam banyak isu penting di kampung ini, termasuklah isu projek jirat cina ini. Pengerusi dan ahli JKKK kampung inimemang selalu mencanangkan di kedai-kedai kopi bahawa mereka bersetuju menerima tanah 4 ekar yang ditukar sogok dengan kelulusan projek jirat cina tersebut.
Untuk pengetahuan YB juga, setahu kami YB Ahli Parlimen Jasin dan YB ADUN Bemban juga sekian lama tidak pernah turun padang untuk menjenguk dan bertanya khabar orang kampung Pondok Kempas. Kedua-duanya hanya mengadakan lawatan sekali selepas kami mengadakan demonstrasi aman membantah pembinaan jirat tersebut pada bulan Mei lalu. Itu pun bukan untuk bertanyakan isu-isu penting seperti isu kubur cina ini, tetapi hanya untuk memberi bantuan kepada mangsa atap(zing 5/6 keping) rumah tercabut. Hanya untuk tunjuk muka sahaja.
Satu perkara yang juga ingin saya bertanya kepada YB dan lain-lain pemimpin UMNO, adakah kami yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyanggah pendapat atau sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO, maka kami dilabelkan sebagai pembangkang atau didalangi parti lawan. Apakah makna demokrasi bagi para pemimpin UMNO? Adakah Hang Nadim betul-betul tidak boleh wujud atau tidak dibenarkan wujud dalam UMNO ? Kami amat musykil tentang perkara ini.
Akhir kata, kami ingin mengingatkan bahawa pembinaan rumah pembakaran mayat dan jirat cina ini adalah suatu musibah, tetapi musibah ini bukan datang begitu sahaja, sebaliknya dibawa masuk oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di hadapan manusia lidah boleh berdolak-dalik, di hadapan Allah nanti kita sama-sama jawab.
Sekian,
Yang Benar,
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Membantah Pembinaan Rumah Pembakaran Mayat & Jirat Cina.
Saya Kalsom Binti Rejab dengan rasa rela hati dan istiqamah mengisytiharkan diri saya dan 80 pengikut saya keluar dari parti UMNO. Yang telah kami sertai selama puluhan tahun. Untuk pengetahuan, saya merupakan bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Pondok Kempas / Kesang Pajak selama 2 penggal dari tahun 2002. Kami mengambil keputusan ini kerana merasa amat kecewa dengan UMNO cawangan, Bahagian mahupun negeri kerana tidak mengambil peduli akan bantahan pembinaan jirat cina yang telah kami buat. Tiada seorang pun YB Parlimen, YB Adun, Pegawai Daerah, YDP Jasin dan semua Agensi Kerajaan yang datang menemui kami untuk menjelaskan perkara sebenar. Sedangkan kami adalah pengundi setia BN pada setiap Pilihanraya. Ini terbukti apabila peti undi Pondok Kempas tidak pernah kalah dan menang bergaya pada setiap kali pilihanraya. Kami juga merasakan amat kecewa apabila terdapat ugutan sikologi dari UMNO Cawangan. Contohnya bantuan akan ditarik balik, akan ditahan polis dan melabelkan sesetengah daripada kami menyertai Parti Pembangkang sedang ini tidak berlaku. Sepatutnya UMNO Cawangan tampil membantu bukannya menghina kami seperti ini.
Pada hari ini juga kami merasakan bahawa UMNO diperingkat Cawangan, Bahagian mahupun Negeri tidak mampu membela nasib rakyat bawahan seperti kami. Ini bercanggah dengan konsep 1 Malaysia di mana Rakyat didahulukan seperti yang dilaung-laungkan oleh YAB Perdana Menteri. Ternyata disini UMNO cawangan, bahagian dan Negeri tidak mampu mendokong konsep 1 Malaysia.
Saya mohon jasa baik anda semua agar memberikan pandangan, saranan atau kritikan yang konstruktif. Semua pandangan atau kritikan yang emosional, menyentuh soal peribadi dan sensitiviti perkauman, keagamaan dan sebagainya perlulah dielakkan. Semua tulisan yang berasaskan fakta yang jelas dan benar serta professional amat dialu-alukan.
Sekian, terima kasih.
Abdullah b. Hassan - Penasihat I PEMBELA.
Ulasan Pengunjung
Info PEMBELA
PEMBELA PONDOK KEMPAS
Ibu Pejabat: Kg. Pondok Kempas,
77500, Selandar,
Melaka.
Pengasas PEMBELA : Ibnu Abdullah.
Objektif : Demi mencapai matlamat Jawatankuasa Bertindak(JKB) Membantah Rumah Pembakaran
Mayat & Jirat Cina, untuk menghentikan serta merta pembinaan sebuah Memorial Perkuburan di tengah-tengah Kg. Pondok Kempas.
Penindasan Yang Berlaku : Penduduk kampung ini telah dinafikan hak mereka untuk menolak sama sekali projek Memorial Perkuburan terbabit.
Staff:
1. Penasihat I/Pengarang : Abdullah Hassan.
2. Penasihat II/Pengarang : Siti Ramuna Mat Isa.
3. Ketua Admin/Ketua Pengarang: Asrul Azam Abdullah.
4. Naib Ketua Admin I/Pengarang : Syamsul Amri Abdullah.
5. Naib Ketua Admin II/Editor/Pengarang : Khairul Adli Abdullah.